Ketepi isu luar padang, tonggak KL City anggap ujian sebagai motivasi berdepan Sang Penyu


  • Podium
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Sebahagian sesi latihan barisan pemain The City Boys menjelang perlawanan berdepan Sang Penyu. — Instagram/klcityfootball

PERLAWANAN separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 bakal menyaksikan pertembungan tumpuan membabitkan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Terengganu FC (TFC) yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 21 Oktober.

Pertembungan menarik itu bakal menyaksikan pasukan naib juara Liga Super musim lalu, Sang Penyu menentang juara Piala Malaysia 2021, The City Boys.

Meskipun The City Boys dikaitkan dengan isu luar padang ketika ini, namun ia tidak meruntuhkan semangat pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu untuk tetap fokus dengan persiapan separuh akhir Piala Malaysia.

WhatsApp Image 2023-10-20 at 16.24.48

Zhafri Yahya antara yang pernah membantu KL City menjuarai Piala FA 2021. — Instagram/zhafriyahya

Menerusi satu hantaran video di Twitter, tonggak The City Boys, Zhafri Yahya, berkongsikan bahawa ketika ini pasukannya hanya mahu fokus dan kekal profesional bagi membantu KL City mendapatkan keputusan yang baik dalam perlawanan tersebut.

Malah, Zhafri menyifatkan masalah luar padang mampu membakar motivasi KL City untuk memburu slot final buat kali kedua musim ini.

“Bagi saya, kita boleh lagi menjalankan tanggungjawab kita sebagai pemain bola profesional.

“Kita meletakkan masalah luar itu sebagai satu motivasi untuk kita berjuang untuk semifinal nanti,” katanya.

Difahamkan isu luar padang itu membabitkan tunggakan gaji seperti yang dihadapi beberapa pasukan Liga Malaysia yang turut terpalit dengan masalah dalaman tersebut.

Dalam pada itu, KL City berharap dapat mencuri kemenangan untuk aksi pertama separuh akhir di laman sendiri pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram