FAM hantar 6 pengadil berpotensi tinggi berguru di Arab Saudi


  • Podium
  • Sabtu, 21 Okt 2023

FAM komited meningkatkan kualiti pengadil dalam saingan Liga Malaysia. — Facebook/FAM

USAHA untuk meningatkan kualiti pengadilan di Malaysia merupakan satu perkara yang amat diambil kira oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Badan induk bola sepak negara itu telah mengambil langkah proaktif dengan menghantar enam pengadil berguru di luar negara dengan harapan lebih ramai pegawai perlawanan berkualiti dihasilkan demi kemajuan bola sepak tempatan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM, enam pengadil tersebut adalah Tuan Mohd Yaasin, Izzul Fikri Kamaruzaman, Kamil Zakaria Ismail, Munir Izam, Kesava Raj dan Shafiq Said.

Daripada enam nama tersebut, Raj dan Shafiq adalah pembantu pegawai perlawanan sementara baki empat nama merupakan pengadil.

FAM telah menghantar mereka berguru di Dammam, Arab Saudi selama seminggu bermula dari 22 hingga 27 Oktober.

Menurut FAM, mereka memilih enam nama tersebut kerana mereka telah menunjukkan prestasi yang baik ketika mengadili perlawanan-perlawanan Liga Malaysia. Malah, FAM turut berpendapat kesemua enam pegawai perlawanan ini mempunyai potensi untuk dikembangkan bakatnya ke tahap lebih tinggi.

Selain itu, mereka juga antara yang cemerlang sewaktu latihan berkenaan sistem Video Assistant Referee (VAR) diadakan di Malaysia.

Bukan setakat dihantar untuk menguatkan lagi ilmu pengadilan mereka, keenam-enam pegawai perlawanan ini juga akan didedahkan dengan pengetahuan berkenaan menguruskan sistem VAR yang bakal digunakan di Malaysia tidak lama lagi.

Dengan pendedahan mengenai VAR itu, kesemua pegawai perlawanan yang dihantar akan menjalani latihan amali dalam tempoh seminggu di Arab Saudi.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, dia berharap peluang berguru di Arab Saudi ini akan menjadi ruang untuk mereka menimba ilmu dan memperoleh manfaat sebagai pegawai perlawanan.

“Semoga ilmu yang diperoleh di Arab Saudi ini dapat memberi manfaat dalam tugasan mereka terutama dalam memartabatkan lagi mutu pengadilan bola sepak negara," kata Hamidin.

Sudah pasti, inisiatif FAM menghantar enam pegawai perlawanan ini ke Arab Saudi adalah sebagai misi meneruskan kecemerlang tiga wakil negara di peringkat antarabangsa.

Nazmi Nasaruddin, Zairul Khalil Tan dan Arif Shamil Abd Rasid adalah tiga pegawai perlawanan negara yang terpilih ke Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024 kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram