PENGARAH dan pelawak terkenal tanah air, Datuk Afdlin Shauki kembali ke layak perak dengan naskhah baharu iaitu filem berjudul Harimau Malaya: The Untold Journey yang pastinya akan menggembirakan penyokong bola sepak tanah air.
Filem terbitan 4wards Pictures Sdn Bhd itu mengambil inspirasi daripada kisah perjuangan skuad Harimau Malaya selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatannya selaku pengendali pada Januari 2022 dan permulaan era Kim Pan-gon di peringkat kelayakan sehingga menempah tiket ke Piala Asia 2022 secara merit selepas penantian 42 tahun.
Antara pelakon terkenal tanah air yang membarisi filem tersebut ialah Sophia Albarakbah dengan dia diberi kepercayaan untuk membawa watak sebagai teman wanita kepada salah seorang pemain bola dalam naskah Harimau Malaya: The Untold Journey itu.
Sophia, 30, berkata, walaupun watak yang dibawanya sebagai 'Karina' berbeza dengan personaliti sebenarnya namun ia tidak menjadi halangan untuk pelakon drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah itu untuk memainkan peranan tersebut.
"Saya bawa watak Karina, dia seorang pelakon dan juga teman wanita kepada salah seorang pemain bola. Perwatakan dia (Karina) seorang yang energetic, ekstrovert, dan gedik-gedik sikit. Dia jenis yang selalu buat content. Sangat berbeza dengan saya.
"Saya sebaliknya jenis introvert dan tak outgoing sangat. Tapi memang seronok sebab dapat mainkan watak yang lain daripada diri sebenar saya. Tapi untuk watak ini, saya akan buat homework. Ask around," katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor.
Sidang media pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey.
Malah, aktres cantik itu juga mengakui perlu membuat kerja tambahan untuk belajar dan mengetahui suasana bola sepak tanah air sebagai persediaan untuk menjayakan watak sebagai 'cinggey' dalam filem tersebut.
Dalam pada itu, Sophia turut berkongsi bahawa kerjasama bersama sutradara terkenal seperti Afdlin menjadi faktor utama pelakon tinggi lampai itu memilih untuk menjadi sebahagian filem berunsur sukan dan sejarah mengenai bola sepak tanah air tersebut.
"Sejujurnya saya tak tahu apa-apa pasal bola. Apabila bercakap pasal sukan, saya more to equestrian iaitu sukan berkuda. Tapi sebab dah bawa watak ini, saya akan buat homework pasal bola sepak.
"Saya ambil watak ini sebab barisan pelakon dan pengarah iaitu Datuk Afdlin. Jadi saya pun rasa perlu ambil peluang ini. Kedua sebab Harimau Malaya. Bukan hari-hari dapat rezeki berlakon cerita begini," tambahnya.
Selain Sophia, filem Harimau Malaya: The Untold Journey akan dibintangi oleh Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Khir Rahman, Douglas Lim, Fattah Amin, Kavin Jay, Fazura, Namron, Bell Ngasri, dan Azhar Sulaiman.
Difahamkan, filem bergenre drama, sukan dan sejarah itu akan menjalani penggambaran selama 35 hari di sekitar Lembah Klang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram