Empat tahun di Liga M, Sony Norde harap tamatkan penantian pentas final bersama Terengganu


  • Podium
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Dalam saingan Piala Malaysia setakat ini, Norde sudah membuat tiga hantaran bantuan. — Facebook/TFC

PEMAIN sayap kelahiran Haiti, Sony Norde sudah bermain di Malaysia selama empat tahun tetapi tidak pernah berpeluang untuk bermain dalam perlawanan akhir.

Kini, Norde berharap dapat mengubah nasibnya apabila berhasrat untuk mendapatkan kejayaan buat Terengganu FC (TFC) menentang Kuala Lumpur pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Pemain yang kini sudah menjangkau usia 34 tahun itu pernah dikecewakan oleh skuad The City Boys sebanyak dua kali sebelum ini.

Ketika dia bermain untuk Melaka dari 2020 hingga 2022, mereka hampir mara ke final Piala Malaysia pada 2021 tetapi tewas kepada KL 3-5 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 dalam aksi timbal balik.

Pemain itu menyertai TFC tahun ini dan mempunyai peluang terbaik untuk melayakkan diri ke final Piala FA, tetapi tewas 2-4 kepada KL sekali lagi dalam penentuan sepakan penalti.

Selepas dua kakalahan yang sukar dilupakan tersebut, pastinya pemain berpengalaman itu tidak mahu sejarah berulang.

“Saya tidak pernah bermain di final sejak saya berpindah ke Malaysia. Ada peluang tetapi nasib tidak menyebelahi saya.

“Kali ini, dalam Piala Malaysia, saya melihat satu lagi peluang untuk menamatkan penantian untuk perlawanan akhir merebut piala. Saya tahu Terengganu mahu ke final dan semuanya bergantung kepada kami. Jika fokus, peluang untuk kami ke peringkat itu sangat besar.

“Kami sudah membuat persiapan dengan baik dan motivasinya tinggi. Kami mahu memastikan peminat kami akan mendapat peluang untuk merasai suasana perlawanan akhir tahun ini. Itulah matlamat kami,” katanya.

WhatsApp Image 2023-10-21 at 08.31.01

Norde ketika sesi latihan sebagai persiapan menentang skuad Warga Kota. — Facebook/TFC

Kuala Lumpur bagaimanapun, bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka telah mendapat reputasi sebagai pasukan yang sering layak ke pentas akhir dalam pertandingan.

Bukan sahaja mereka mempunyai penyerang yang kuat seperti Tchetche Kipre dan Romel Morales, kelab Lembah Klang itu juga terkenal dengan kekuatan fizikal dan kadar kerja mereka.

Dengan pemain pertahanan tengah Australia, Giancarlo Gallifuoco mengetuai barisan belakang dan pemain tengah Itali, Sebastian Avanzini menjadi pemusnah di bahagian tengah, Terengganu perlu memastikan bahawa merek boleh menggunakan sebaik-baiknya peluang mereka,

"Mereka kuat dan berdisiplin dari segi taktikal. Kami telah melihatnya semasa perlawanan Piala Malaysia. Kami lihat agaimana mereka boleh menyerap serangan dan kemudian melepaskan balas.

"Kami bersedia dan berharap dapat melaksanakan rancangan kami dengan baik untuk memastikan kami dapat mencapai matlamat,” jelas Norde. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram