
SETIAP kehilangan yang dihadapi, amat menyakitkan. Tidak kiralah kehilangan apa sekali pun, setiap jiwa manusia pasti akan terkesan dengannya.
Apatah lagi jika ia melibatkan kehilangan ahli keluarga tercinta. Mereka yang sentiasa ada pada setiap detik jatuh dan bangun pergi untuk selamanya.
Sudah pasti, kehilangan tersebut akan membuatkan separuh daripada jiwa kita pergi. Hanya masa sahaja yang dapat merawat duka akibat perpisahan yang cukup menyakitkan.
Itulah yang terjadi buat pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham yang telah kehilangan bapa tercintanya.
Bapa Zamsaham, Tukiman Saremo telah meninggal dunia pada jam 6.20 pagi hari Sabtu. Berita itu telah disahkan sendiri oleh pemilik Kelantan tersebut di laman media sosialnya.
"Assalammualaikum semua kenalan saya, ayah saya Tukiman Jasemo telah meninggal (dunia) pada jam 6.20 pagi. Insha-ALLAH solat jenazah diadakan di Surau Taman Sri Putra, Johor," kata Zamsaham.
Sejak dari dulu, Zamsaham sering berkongsikan mengenai keadaan bapanya yang tenat menghadapi penyakit.
Berita itu telah mendapat banyak reaksi takziah daripada rakan-rakan dan juga penyokong The Red Warriors yang bersimpati atas nasib Zamsaham yang kehilangan bapanya.
"Terima kasih semua yang mendoakan arwah ayah saya dan sedekahkan Al-Fatihah kepadanya," kata Zamsaham lagi.
Waktu ini jelas sukar buat Zamsaham atas apa yang berlaku. Semoga pemilik The Red Warriors itu tabah menghadapi ujian getir dalam hidupnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram