DALAM dunia bola sepak, pergerakan keluar masuk seseorang pemain adalah berdasarkan jual beli di jendela perpindahan.
Pemain akan dijual oleh kelab kepada pasukan baharunya dan yuran perpindahan akan dikenakan sebagai tanda urus niaga dijalankan.
Dalam bola sepak, itulah pendekatan lazim digunakan bagi mendapatkan pemain. Tidak seperti pofesion lain yang perlu melalui temu duga.
Namun begitu, itulah pendekatan yang digunakan oleh sebuah kelab di Singapura dalam mencari pemain bagi persiapan musim baharu saingan domestik negara tersebut.
Kelab Balestier Khalsa secara terbuka mengiklankan jawatan kosong sebagai pemain bola sepak profesional di sebuah laman pencarian kerja iaitu My Careers Future.
Dalam iklan tersebut, mereka mencari pemain di pelbagai posisi untuk diisi bagi kempen S-League 2024 dengan minimum pengalaman setahun pengalaman menjadi pemain profesional di mana-mana liga seluruh dunia.
Iklan yang sudah disiarkan selama dua minggu di laman tersebut menawarkan gaji sekitar $4,000 Dolar Singapura (RM13,000) hingga $7,000 Dolar Singapura (RM24,000) mengikut kualiti dan pengalaman pemain tersebut.
Gaji itu mungkin rendah berbanding apa yang dibayar di Liga Malaysia. Malah ia juga mungkin tidak semahal dengan apa yang diperoleh oleh bintang-bintang Lion City Sailors, Tampines Rovers dan Hougang United.
Setakat ini, jawatan tersebut telah menerima 11 permohonan namun tidak dapat dipastikan siapa yang berbuat demikian.
Pendekatan yang dilakukan oleh Balestier Khalsa ini tampak lucu dan aneh, tetapi ia masih tidak salah. Mana tahu, dari cara ini mereka berhasil dapatkan pemain yang sesuai?
Ini juga boleh dijadikan satu jalan buat pemain Liga Malaysia yang ingin lari daripada pasukan yang culas membayar gaji mereka. Tetapi, mereka perlu berkelana ke sebarang tambak demi mencari sesuap nasi.
Balestier Khalsa merupakan antara pasukan terbaik Singapura pada musim ini. Mereka menamatkan saingan S-League musim ini di kedudukan keempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram