SEPERTI yang diramal, Johor Darul Takzim (JDT) meraih kemenangan dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia 2023 selepas berjaya menewaskan Perak FC dengan keputusan 4-1 pada Khamis.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan skuad bimbingan Esteban Solari membawa bekalan selesa dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada 2 November depan.
Meskipun pasukannya berjaya melakar kemenangan selesa, namun pengendali JDT, Esteban Solari berkata, ia bukan satu tugas mudah kerana pemain Perak dilihat beraksi dengan bermati-matian.
"Pasukan Perak berikan tentangan dan tekanan yang sengit, ada beberapa ketika meletakkan kami dalam situasi sukar. Bagaimanapun, secara keseluruhan pemain saya beraksi dengan baik lebih-lebih lagi pada separuh masa pertama.
"Saya juga rasa ada satu atau dua peluang yang boleh menghasilkan gol namun kita tidak bernasib baik. Secara keseluruhan saya gembira dengan keputusan ini,” katanya.
Jaringan Arif Aiman Hanapi membantu JDT membawa bekalan selesa ke SSI nanti. — Facebook/MFL
Solari turut berkata, anak-anak buahnya dapat mengawal permainan dengan baik walaupun beraksi atas padang yang basah dan lembap.
"Separuh masa kedua lebih banyak berlari, tetapi masih mempunyai banyak peluang yang kami cipta. Saya rasa pemain telah beraksi dengan sangat baik walaupun bermain di padang seperti itu,” ujarnya.
Ditanya mengenai gandingan Heberty Fernandes, Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva, Solari berpendapat bahawa ketiga-tiga pemain tersebut mempunyai kualiti tersendiri.
"Ia adalah idea yang baik untuk meletakkan ketiga-tiga mereka bersama kerana mereka mempunyai kualiti yang tinggi dan boleh mengubah corak permainan.
"Tentunya mereka mempunyai ciri-ciri yang terbaik kerana mereka memiliki kelebihan sebagai penyerang selain bermain di bahagian tengah," ujarnya.
Tambahnya lagi, pasukannya akan terbang ke Korea Selatan untuk melengkapkan perlawanan ketiga kumpulan I berdepan Ulsan Hyundai dalam aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang berlangsung pada 24 Oktober.
"Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar berdepan Ulsan, tapi saya percaya kami boleh lakukan yang terbaik sama seperti ketika kami berjaya menewaskan pasukan Thailand, BG Pathum United.
"Sasaran utama kami adalah mendapatkan poin untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya.
Harimau Selatan kini boleh dikatakan selangkah kaki bagi mengulangi aksi mara ke final Piala Malaysia musim lepas berbekalkan agregat selesa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram