[VIDEO] 'Good luck Perak FC', ex coach The Bos Gaurus tabur kata semangat berdepan JDT


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Sekitar sesi latihan barisan pemain Perak FC untuk menghadapi separuh akhir Piala Malaysia 2023. — Instagram/perakfcofficial_

KEJAYAAN menyingkirkan dua kelab gergasi, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC dalam kempen Piala Malaysia musim ini, membuatkan ramai beranggapan Perak FC mampu mengulangi magis itu apabila melayan kunjungan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis.

Pertembungan menarik itu bakal menyaksikan juara bertahan Liga Super berdepan dengan pasukan yang menduduki tangga ke-11 liga tersebut.

Meskipun mengetahui JDT merupakan pasukan yang mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini, penyokong Perak FC berasakan skuad The Bos Gaurus (TBG) mampu memberi kejutan kepada Harimau Selatan.

WhatsApp Image 2023-10-19 at 13.19.26 (1)

Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Selatan bagi persiapan menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia. — Instagram/officialjohor

Dalam pada itu, selain menerima sokongan dan dorongan daripada penyokong Perak FC, pasukan kendalian Yusri Che Lah itu turut menerima kata-kata semangat daripada bekas jurulatih skuad tersebut.

Menerusi satu hantaran di sebuah laman penyokong Perak FC, Silver Retro berkongsikan ucapan daripada bekas pengendali TBG tersebut.

Bekas Ketua Jurulatih Perak FC, Steve Darby sempat memberi pesanan kepada bekas pasukan kendaliannya itu berikutan layak ke separuh akhir Piala Malaysia berdepan Harimau Selatan.

"Semoga berjaya kepada Yusri Che Lah, semua barisan kejurulatihan dan sudah tentu kepada semua pemain.

"Satu pencapaian yang hebat kerana sampai tahap ini terutamanya apabila anda mengalami kekangan kewangan. Saya pasti Yob dan Yong akan berada di belakang anda dan membuat suasana yang hebat.

"Teruskan, percaya pada diri sendiri, anda tidak akan rugi apa-apa, anda boleh menjadi wira," kongsinya.

Seperti yang diketahui, Steve Darby pernah mengendalikan pasukan Johor ketika skuad Harimau Selatan itu dinobatkan selaku Juara Piala FA buat pertama kali pada tahun 1998.

Namun pada tahun 1999, Darby dan pasukan juara Piala FA itu berkunjung ke Ipoh dalam penentuan Piala Sumbangsih menentang Perak namun tewas 0-2 dalam perlawanan tersebut.

Bukan itu sahaja, Darby juga pernah berhijrah ke Liga Singapura dengan menyertai Home United pada 2002.

Meskipun hilang seketika dari kancah Liga M, namun dia kembali semula pada penghujung 2005 untuk menyertai pasukan Perak bagi mengisi kekosongan jurulatih yang ditinggalkan Toni Netto ketika itu.

Menariknya mengenai pengendali kelahiran England itu, dia menggunakan formasi tiga pertahanan di bahagian bawah dan hasilnya dapat dilihat apabila berjaya menewaskan Selangor 4-1 pada perlawanan Piala Sumbangsih meskipun Perak beraksi tanpa lapan pemain utama kerana menyertai pasukan kebangsaan.

Musim pertama zaman kegemilangan Darby diteruskan dengan Perak layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim 2006 bertemu Perlis ketika itu.

Tidak berhenti di situ sahaja, Darby sekali lagi membawa Perak ke separuh akhir Piala Malaysia pada 2007 dan berjaya ke pentas akhir namun tewas 0-3 kepada Kedah ketika itu.

Tahun 2008 merupakan tahun terakhir Darby bersama Perak. Perak yang ketika itu dipalit isu tunggakan gaji masih juga mampu ke peringkat suku akhir piala AFC, namun tumpas pada pasukan Safa dari negara Lubnan.

Selepas ini, Perak akan berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor untuk melengkapkan perlawanan timbal balik pada 2 November depan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram