Aksi getir jumpa KL City, 'keeper' utama Sang Penyu digesa kekal sebagai 1st eleven


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Sekitar sesi latihan barisan pemain Sang Penyu dalam menghadapi separuh akhir Piala Malaysia 2023. — Facebook/Terengganufc

PERLAWANAN separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 bakal menyaksikan pertembungan tumpuan membabitkan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Terengganu FC (TFC) yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 21 Oktober.

Pertembungan menarik itu bakal menyaksikan pasukan Sang Penyu yang menduduki tangga keenam Liga Super dan The City Boys yang menghuni kedudukan ketujuh liga tersebut.

Sebelum ini, KL City pernah menewaskan pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner dalam aksi separuh akhir Piala FA 2023.

Dalam aksi tersebut, TFC tewas 2-4 dalam penentuan sepakan penalti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 25 Jun lalu.

WhatsApp Image 2023-10-19 at 21.55.16

Penjaga gol Sang Penyu, Suhaimi Husin bersedia untuk memberikan yang terbaik untuk pasukannya. — Facebook/Terengganufc

Dalam satu hantaran di laman rasmi Terengganu FC, Suhaimi Husin berkata, dia bersedia memberikan yang terbaik jika diturunkan bagi aksi menentang Kuala Lumpur City FC Sabtu nanti.

Tampil mengulas perkara tersebut, penjaga gol Sang Penyu, Suhaimi juga menyimpan hasrat untuk membalas dendam berikutan kedua-dua pasukan itu diundi untuk bertemu semula.

Baginya persaingan di posisi penjaga gol sangat positif kerana Rahadiazli Rahalim dan juga Syed Nasrulhaq Syed Bidin sentiasa memberikan persaingan yang sengit buatnya terutama semasa sesi latihan.

Suhaimi juga berharap agar penyokong Terengganu FC dapat hadir memberikan sokongan serta dapat mendoakan kejayaan pasukan ini kerana baginya dan rakan-rakan sepasukan.

"Kita hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk kembali menjejakkan diri ke perlawanan akhir dan semestinya peluang ini para pemain tidak ingin lepaskan," katanya.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong berharap agar Suhaimi Husin diberi peluang untuk beraksi dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 nanti.

"Game-game penting macam ni, elok kekalkan Suhaimi Husin saja dalam barisan utama," kata Mat Jie.

"Kekalkan Suhaimi Husin as first goal keeper," kata Mhafiz Daud.

"Rahadiazli simpan untuk Liga Super, Piala Malaysia ni bagi Suhaimi Husin main," kata Faizwan Faez. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram