[VIDEO] Mereka mahu saya cedera — Rasmus Hojlund


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Tangkap layar aksi berbahaya tersebut. — Agensi

BINTANG Manchester United, Rasmus Hojlund mendakwa salah seorang pemain San Marino cuba untuk mencederakannya dalam aksi kelayakan Euro 2024 pada Rabu.

Dalam perlawanan tersebut, Hojlund membantu Denmark berada dalam kedudukan selesa apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, pasukan San Marino membuat serangan balik dengan menjaringkan gol penyamaan menerusi jaringan Alessandro Golinucci.

Meskipun berjaya meraih gol penyamaan, Yussuf Poulsen berjaya meletakkan pasukan Denmark di hadapan selepas mencetak jaringan pada minit ke-70.

Bagaimanapun, sepanjang 90 minit aksi tersebut berlangsung, pemain San Marino, Roberto Di Maio dilihat bertindak agresif dan melakukan aksi berbahaya terhadap Hojlund.

Difahamkan, Hojlund yang juga memahami bahasa Itali itu turut terdengar perbualan daripada pemain San Marino yang mahu mencederakannya.

Selepas perlawanan tersebut tamat, menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya, Hojlund meluahkan kekecewaan terhadap pemain San Marino tersebut.

"Kami bekerja keras setiap hari untuk menjadi versi terbaik dan kekal cergas untuk perlawanan seterusnya. Tingkah laku dari San Marino yang cuba mencederakan saya adalah tidak boleh diterima," katanya di Instagram.

Kemenangan 2-1 itu memastikan Denmark kekal di tempat kedua dalam kumpulan H kelayakan Euro 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram