BARU-BARU ini, isu rumput di gelanggang keramat Harimau Malaya tercabut di beberapa bahagian ketika perlawanan Malaysia berdepan India dan Tajikistan dalam aksi Kejohanan Pestabola Merdeka 2023.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur itu menerima kritikan ramai mengenai isu rumput tersebut.
Hal ini kerana, padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihatan tercabut atau koyak seawal lima minit sepak mula perlawanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kualiti rumput yang digunakan itu.
Skuad Harimau Malaya akur terlepas trofi berprestij Pestabola Merdeka 2023. — Facebook/FAM
Bagaimanapun, dalam persediaan mengenai venue pasukan Harimau Malaya menjelang kelayakan Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di SNBJ nanti, penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memainkan peranan penting dalam membuat keputusan tersebut.
Zulakbal berkata, FAM dan PSM perlu mendapatkan pandangan pakar rumput berkaitan kematangan rumput itu sendiri.
"Dalam hal ini, untuk membuat keputusan dalam perlawanan terdekat, saya berpandangan FAM dan PSM perlu mendapatkan pandangan pakar rumput yang mengendalikan projek menaik taraf rumput tersebut.
"Kalau pakar rumput cakap belum matang, carilah stadium lain, contoh stadium di Johor dan Terengganu," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, mengulas keadaan padang ketika ini, Zulakbal berharap agar semua pihak bertanggungjawab apabila mahu menggunakan sesuatu benda yang baharu.
"Jangan ghairah nak guna benda belum ready, nanti keluar duit lagi untuk renovate," katanya.
Di samping itu, Zulakbal turut berkongsikan padang SNBJ sepatutnya diberikan lebih masa untuk akarnya kuat.
"Biarkan padang itu benar-benar matang, kalau pakar kata boleh guna dan kita guna lah. Pakar yang saya maksudkan ialah pakar rumput, pakar yang membaik pulih rumput tersebut.
"PSM dan FAM kena dengar kata pakar, bukan pakar yang kena dengar kata PSM atau FAM," kongsinya.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga mendedahkan bahawa padang baharu di SNBJ itu tidak sepatutnya digunakan pada kejohanan berkenaan ekoran ia perlu diberikan lebih masa untuk berada pada kualiti terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram