Sanggup lepaskan title ayam tambatan, 3 pemain tukar angin ubah kerjaya


  • Podium
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Baddrol memenangi kerusi Dun Gurun dengan memperoleh 17,771 undi. — Facebook/Baddrol

BERBAKI beberapa perlawanan lagi saingan domestik musim ini akan melabuhkan tirainya dan jika diimbau kembali pelbagai insiden ataupun adegan menarik yang terjadi sehingga ada di antaranya masih menjadi topik bualan penyokong.

Tidak usah mengambil topik susah seperti krisis kontroversi melibatkan pengadil dan masalah dalaman kelab, suasana pemain secara tiba-tiba menukar kerjaya juga seakan-akan menjadi isu nasional dalam dunia bola sepak musim ini.

Walaupun agak sukar untuk ditelan, namun ada beberapa pemain musim ini memberi kejutan kepada peminat domestik apabila membuat keputusan untuk meninggalkan kerjaya sebagai bintang bola sepak yang diketahui menerima gaji ribuan ringgit.

Lazimnya, berita mengenai persaraan seseorang pemain akan berlaku sekiranya terlibat dengan masalah kecederaan yang teruk ataupun tahap kecergasan semakin menurun namun senario tersebut tidak berlaku untuk beberapa pemain.

Malah, ada daripada pemain yang menceburi bidang baharu itu masih dianggap sebagai ayam tambatan kelab dan sehingga kini kehilangannya masih dirasai oleh barisan kejurulatihan serta penyokong pasukan.

Dari menyarung jersi sehingga kemas memakai kemeja, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain Liga Super 2023 yang mencari angin baharu dengan menceburi bidang lain:

1) Baddrol Bakhtiar

WhatsApp Image 2023-10-19 at 23.26.44

Baddrol kini sibuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Gurun. — Facebook/Baddrol

Dari pemain bola sepak ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar mengejutkan penyokong tanah air selepas dia membuat keputusan besar dalam hidupnya dengan terjun ke dunia politik dan mengorbankan kariernya.

Walaupun sudah berusia 35 tahun namun Baddrol masih menjadi tonggak harapan Sabah FC sejak musim 2021 dan sebelum sah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Baddrol sempat menyumbangkan empat jaringan gol dalam 13 aksi Liga Super dia diturunkan.

Pengorbanan berkhidmat menjadi wakil rakyat ternyata berhasil apabila bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC itu memenangi kerusi Dun Gurun dengan memperoleh 17,771 undi.

Darah seorang pemain bola sepak masih mengalir dalam dirinya apabila mengadakan sesi pemilihan pemain bola sepak secara terbuka khususnya kepada penduduk kawasan Gurun yang berusia 17 sehingga 39 tahun.

2) Lee Tuck

PETALING JAYA, 24 Mei -- Pemain Selangor FC Yohandry Jose Orozco Cujia (kiri) cuba melepasi kawalan bola dari pemain Kedah Darul Aman FC Lee Andrew Tuck (kanan) pada Perlawanan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.Keputusan semasa Selangor FC 3-2 Kedah Darul Aman FC.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Lee Tuck menjaringkan lima jaringan gol dalam 15 aksi Liga Super bersama Kedah. — Facebook/KDAFC

Kehadiran pemain naturalisasi, Lee Andrew Tuck ke bumi Darul Aman membawa kegembiraan kepada penyokong berikutan kecemerlangannya dalam membantu jentera serangan namun jodoh terlerai apabila dia memutuskan untuk kembali ke kampung halaman.

Selepas kembali ke negara kelahirannya iaitu England, Lee Tuck tidak lagi bermain sebarang bola sepak baik dalam kancah profesional atau separuh-profesional (semi-pro) sehingga dia didakwa seakan-akan sudah tidak tertarik untuk panggilan negara bersama Harimau Malaya.

Berdasarkan tinjauan Majoriti di laman Instagram peribadinya, Lee Tuck kini dilihat melibatkan seorang ejen dalam bidang hartanah dengan difahamkan mempunyai syarikat hartanah sendiri yang dikenali sebagai Unified Properties.

Difahamkan, pemain berusia 35 tahun itu menjalankan perniagaan berkenaan bersama isterinya, Georgia Madelela yang dikatakan merupakan seorang pakar bidang hartanah terutamanya berkenaan sewaan.

3) Ikhwan Yazek

WhatsApp Image 2023-10-19 at 23.26.54

Gambar Ikhwan yang dikatakan menerima tawaran daripada SUK di sebuah negeri. — Instagram/Ikhwan

Selepas hampir tujuh bulan menghilang rentetan daripada kecederaan yang dialami di lutut ketika aksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC aksi pada 17 Mac lalu, kehadiran semula Ikhwan Yazek sebaliknya membawa kesedihan kepada penyokong.

Menerusi satu hantaran di laman Instagramnya, pemain muda itu memutuskan itu meninggalkan kem Kelantan selepas hanya sempat tampil dalam lima aksi Liga Super dan menyumbangkan satu hantaran bantuan.

Melihat kepada perkembangan di laman Instagram miliknya, pemain berusia 23 tahun itu dikatakan sudah bekerja di sebuah Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) untuk meneruskan mencari sumber pendapatan.

Sebelum membuat keputusan menyertai bidang lain, Ikhwan dikaitkan dengan pasukan Liga Super berpangkalan di Pantai Timur serta Lembah Klang dan antara kelab dikhabarkan ialah Selangor FC dan Terengganu FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram