[VIDEO] Mo Salah buka mulut, jadi bintang EPL pertama pertahankan Palestin


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Salah sememangnya cukup terkenal dengan pendiriannya yang mempertahankan nasib penduduk Palestin. — Agensi

KONFLIK kemanusiaan yang kini berlangsung antara penduduk Palestin dan rejim Zionis meraih perhatian rakyat di peringkat antarabangsa.

Selain orang kebiasaan, beberapa individu ternama juga berkesempatan memberikan pandangan masing-masing, termasuk artis serta usahawan terkenal.

Baru-baru ini, seorang ikon bola sepak global, Mohamed Salah turut mengambil kesempatan memberi kesedaran mengenai konflik tersebut menerusi satu hantaran di laman media sosial peribadinya.

Dalam video berdurasi 51 saat itu, bintang sayap Liverpool berkenaan mengatakan seksaan yang dihadapi perlu ditangani dengan segera.

"Terlalu banyak keganasan berlaku dan terlalu banyak perkara yang menyedihkan. Sukar untuk kita saksikan konflik yang sedang berlangsung ketika ini.

"Semua nyawa adalah berharga dan perlu dilindungi. Keganasan perlu dihentikan kerana ahli keluarga sering berdepan kemungkinan kehilangan antara satu sama lain," katanya.

Setakat ini, Salah merupakan satu-satunya bintang dari Liga Perdana Inggeris (EPL) yang membuktikan pendiriannya buat penduduk Gaza atas nasib yang menimpa mereka.

Ia sudah tentu akan menyebabkan perdebatan hangat apabila baru-baru ini, dua pemain berpangkalan di Eropah, Anwar El-Ghazi dan Youcef Atal menyuarakan pendirian masing-masing.

Sejak konflik antara Palestin dan rejim Zionis berlangsung, seramai 3,478 penduduk Palestin sudah terbunuh akibat serangan udara yang tidak henti-henti.

Ini termasuk serangan misil yang dilancarkan askar haram Israel terhadap sebuah hospital di Gaza dengan anggaran 500 individu, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh.

"Bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu dibenarkan secepat mungkin kerana penduduk di sana sedang berada dalam keadaan cukup menyedihkan.

"Penduduk Gaza perlukan makanan, bekalan air bersih dan barangan kesihatan dengan segera. Saya menyeru kepada pemimpin seluruh dunia dan hadir ke Gaza untuk menghentikan keganasan ini," kata Salah lagi.

Kapten skuad antarabangsa Mesir itu sebelum ini sering menyuarakan solidaritinya buat Palestin menerusi sumbangan bernilai ratusan ribu buat penduduk di negara berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram