ISU rumput di gelanggang keramat Harimau Malaya semakin heboh diperkatakan selepas tamat perlawanan Malaysia berdepan India dan Tajikistan dalam aksi Kejohanan Pestabola Merdeka 2023.
Meskipun kejohanan tersebut berjalan lancar namun masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur itu.
Bagaimanapun, dalam persediaan mengenai venue pasukan Harimau Malaya menjelang kelayakan Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di SNBJ nanti, penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpandangan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memainkan peranan penting dalam membuat keputusan tersebut.
"Pandangan saya, yang pertama sekali kita kena tengok perlawanan yang terbaharu ini iaitu berdepan India dan Tajikistan, semua yang melihat aksi tersebut tidak kira FAM atau PSM, adakah mereka berpuas hati dengan keadaan padang?.
"Saya fikir ramai orang yang tidak begitu berpuas hati dengan keadaan padang tersebut kerana mudah tercabut dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.
Pasukan Tajikistan berjaya menjulang trofi berprestij Pestabola Merdeka 2023. — Facebook/FAM
Tambahnya lagi, melihat kepada komen-komen di laman media sosial, Zulakbal beranggapan bahawa kemungkinan besar FAM mempunyai alasan tersendiri mengapa masih mahu menggunakan SNBJ.
"Tapi apabila kita melihat beberapa komen-komen penyokong tanah air mengenai keadaan padang itu dan dapati rumput yang baru ditanam itu belum cukup matang, jadi saya berpandangan bahawa FAM pasti nak guna mungkin disebabkan oleh gelanggang keramat Harimau Malaya.
"Nak tak nak, PSM kena bagi FAM guna kerana FAM adalah tenant yang paling besar untuk bayar PSM," ujarnya.
Di samping itu, Zulakbal juga menzahirkan perasaan bimbang apabila negara akan dipandang sinis oleh orang luar mengenai keadaan padang tersebut.
"Namun begitu, dalam keadaan begini, saya takut negara kita akan dipandang sinis oleh orang-orang yang main dekat padang itu," jelasnya.
Meskipun SNBJ bakal digunakan untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia nanti, Zulakbal berharap agar tiada suara-suara sumbang kedengaran mengenai perkara itu sama seperti ketika Malaysia menggunakan jenis rumput cowgrass.
Sebelum menggunakan rumput zeon zoysia, Malaysia pernah menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77 dan cowgrass yang turut mendapat kritikan ramai.
"Tapi saya tak nak dengar sekiranya kita masih menggunakan padang tersebut dan selepas tamat perlawanan, ramai pula yang complaint kata padang tidak berkualiti, padang memalukan padang senang tercabut.
"Itu semua kita bosan... sudah bosan dengar, dulu semasa kita guna padang cowgrass sama juga, sekarang pakai zeon zoysia pun sama juga.
"Tapi kita sendiri yang tiada disiplin dalam memastikan padang itu benar-benar sesuai dan baik digunakan," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram