[VIDEO] Tonjol semangat kesukanan, bintang China ‘belanja’ pemain Uganda lepas tali putus ketika perlawanan


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Zheng Xing memberikan raketnya kepada Muyanja ketika perlawanan sedang berlangsung. — Agensi

LUMRAH dalam sukan, kita akan saksikan ada pemenang serta peserta yang tewas. Itu adalah amalan yang biasa apabila bertanding.

Tetapi dalam sukan juga, terdapat satu lumrah yang amat diraikan kewujudannya iaitu semangat kesukanan. Semangat kesukanan ini hadir pada saat kita tidak diduga tapi apabila ia datang, pasti akan meruntun jiwa setiap mata yang melihat.

Itulah yang terjadi dalam sukan badminton apabila sebuah semangat kesukanan telah dipamerkan oleh seorang bintang China terhadap lawannya yang serba kekurangan.

Wang Zheng Xing, pemain perseorangan lelaki yang kini menduduki tangga ke-246 dunia telah mempamerkan semangat kesukanan apabila bertemu wakil dari Uganda iaitu Amos Muyanja.

Muyanja yang menduduki kedudukan 406 dalam ranking perseorangan lelaki, bertemu Zheng Xing ketika World University Games yang diadakan Chengdu, China pada Ogos lalu.

Dalam sebuah klip yang kembali tular di Twitter (X), Muyanja mengalami kesukaran untuk menamatkan perlawanan selepas tali raketnya terputus ketika beraksi dalam pusingan 64 pemain terakhir.

Disebabkan itu, Muyanja tidak dapat meneruskan perlawanan kerana dia hanya membawa satu raket sahaja ketika itu. Muyanja begitu hampir untuk menarik diri daripada perlawanan tersebut, lalu Zheng Xing muncul sebagai penyelamat.

muyanja2

Kedua-dua pemain bergambar selepas tamat perlawanan. — Agensi

Zheng Xing hadir sebagai wira apabila dia memberikan raket tambahan miliknya kepada Muyanja agar pemain Uganda itu dapat menamatkan perlawanan dengan jayanya. Hasilnya, Zheng Xing berjaya mara ke pusingan seterusnya dengan kemenangan straight set 21-3, 21-4.

"Dia cuma ada satu raket sahaja, jadi apabila ia rosak, dia tidak boleh teruskan permainan. Sungguh kasihan kerana mereka datang dari jauh dan itu tidak mudah. Jadi saya pinjamkan raket saya kepadanya," kata Zheng Xing selepas perlawanan.

Zheng Xing kemudiannya berjaya merangkul pingat emas untuk acara perseorangan lelaki selepas menewaskan wakil Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul dengan kemenangan straight set 21-16, 21-14. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram