Alami semput, Shaharudin Abdullah dirawat di Hospital Taiping


  • Podium
  • Isnin, 16 Okt 2023

Shaharudin Abdullah dipasang mesin bantuan pernafasan di Hospital Taiping, Perak sejak dimasukkan pada Isnin. — Agensi

BEKAS pemenang Pestabola Merdeka tiga kali selain pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Munich 1972, Shaharudin Abdullah dimasukkan ke Hospital Taiping, Perak pada Isnin kerana mengalami kesukaran bernafas atau semput.

Anak keduanya, Shahrina berkata, ayahnya dibawa ke hospital pada pukul 6.15 pagi (Isnin).

"Abah dibawa ke hospital pada pukul 6.15 pagi ini. Sekarang keadaannya semakin pulih.

“Dia masih menunggu di ruang kecemasan untuk masuk wad jika ada pesakit lain yang dibenarkan keluar kerana wad kini penuh.

“Doktor akan memantaunya 24 jam,” katanya, berdasarkan laporan BebasNews.

Shaharudin, 75, kini tinggal bersama-sama Shahrina di Kamunting, Perak berhampiran Taiping biarpun sebelum ini, penyerang handalan negara era 60-an dan 70-an itu menetap di Simpang Renggam, Johor.

Anak jati Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang itu pernah membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 1968, 1973 dan 1974 masing-masing setelah mengalahkan pasukan Burma 3-0, Kuwait 3-1 dan Korea Selatan 1-0.

Untuk rekod, dia juga menyumbat gol kedua pasukan negara di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada minit ke-64 final Pestabola Merdeka 1968 menentang Burma (kini Myanmar).

Shaharudin atau jolokan namanya 'The Black Cat' malah pernah menjaringkan satu gol ketika menentang Amerika Syarikat yang dimenangi Malaysia 3-0 di Ingolstadt selain berdepan Jerman Barat dan Maghribi dalam saingan Kumpulan A Sukan Olimpik Munich.

Shaharudin bersama-sama abangnya bek kanan negara, Allahyarham Datuk Namat Abdullah turut pernah membantu Pulau Pinang kini dikenali sebagai Penang FC memenangi Piala Malaysia 1974 setelah menumpaskan Perak 2-1 di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram