[VIDEO] Lepas Steve Darby, bekas pemain pula beri mesej semangat buat skuad TBG


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Skuad TBG memerlukan sokongan padu apabila mereka bakal berdepan cabaran getir menentang JDT di separuh akhir Piala Malaysia 2023. — Facebook/Perak FC

TUGASAN berat menanti skuad The Bos Gaurus (TBG) dalam separuh akhir Piala Malaysia 2023 apabila mereka bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT).

Jurang kualiti antara kedua-dua pasukan musim ini adalah cukup besar dengan Perak FC hanya berada di tangga ke-11 Liga Super sementara JDT sudah pun dinobatkan juara dalam pertandingan tersebut.

Bagaimanapun, kesungguhan anak-anak buah Yusri Che Lah tidak boleh dipandang rendah selepas mereka melakar kejutan dengan menyingkirkan dua pasukan pilihan dalam Piala Malaysia.

Selepas menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan agregat 4-3 dalam pusingan pertama, skuad TBG sekali lagi mencuri perhatian di peringkat suku akhir setelah menyingkiran Sabah FC.

Kejayaan mereka untuk mengesahkan slot di separuh akhir pertandingan sudah semestinya mengejutkan ramai pihak yang tidak menyangka akan kebolehan mereka.

29540999_427738184342386_7050649665007584318_n

Abdoulaye Traore merupakan salah seorang ikon sukar dilupakan penyokong skuad TBG. Facebook/Silver Retro

Jadi, dalam usaha Perak FC melayakkan diri ke perlawanan akhir, sokongan daripada penyokong sudah tentu diharapkan dalam perlawanan pertama di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis.

Harapan itu seperti sudah tercapai apabila rata-rata pengikut setia kelab sudah memberikan kata-kata semangat di media sosial.

Malah, sokongan turut diberikan beberapa individu yang cukup dekat dengan Perak FC, termasuk bekas pemain mereka, Traore Abdoulaye menerusi satu mesej di laman media sosial Silver Retro.

"Pertama, saya mahu mengucapkan tahniah kepada anda kerana berjaya berada di separuh akhir Piala Malaysia. Jadi, sekarang, kita akan berdepan JDT.

"Ia sudah tentu akan menjadi sebuah perlawanan yang sukar. Keluarlah ke atas padang dan berikan segala-galanya untuk mendapatkan keputusan terbaik," katanya menerusi satu kiriman video.

Kata-kata semangat yang diberikan Traore Abdoulaye buat skuad TBG. Facebook/Silver Retro

Pemain kelahiran Burkina Faso itu pernah beraksi untuk beberapa musim bersama skuad TBG dengan beberapa kejayaan pernah diraih, termasuk membantu pasukan melangkah ke separuh akir Piala Malaysia 2005 dan 2006.

Sepanjang keberadaanya bersama kelab tersebut, Traore juga pernah beraksi di samping beberapa ikon kelab, termasuk Yusri Che Lah dan penjaring berbisa tempatan, Khalid Jamlus.

"Kepada Yusri dan Arul, anda sedang melakukan sesuatu yang cukup hebat dan saya harapkan yang terbaik buat anda.

"Kamu berdua miliki pengalaman dalam perlawanan sebegini dan saya tahu anda akan memarakkan lagi semangat pemain untuk melangkah ke perlawanan akhir," katanya.

Selain Traore, Silver Retro turut berkesempatan menghubungi bekas pengendali kelab, Steve Darby yang turut sempat memberikan kata-kata semangat buat mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram