Masih 50-50 turun lawan Perak FC, Matt Davies yakin JDT mampu cipta rekod


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Matt ketika aksi bersama Harimau Malaya menentang Tajikistan. — Facebook/JDT

DI atas kertas, Johor Darul Takzim (JDT) dilihat mempunyai peluang cerah untuk menewaskan Perak FC dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia dan sekali gus memudahkan perjalanan untuk mendapat slot perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Dari segi kedudukan di saingan domestik sahaja sudah menceritakan kekuatan Harimau Selatan terutamanya selepas kelab dari Selatan tanah air itu dinobatkan sebagai juara 10 kali berturut-turut Liga Super baru-baru ini.

Namun, carta semasa tidak memberi tiket untuk JDT memandang rendah kekuatan pasukan Perak FC yang semakin lama dilihat berkemampuan membenam beberapa pasukan kuasa besar bola sepak domestik seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC.

Bukan itu sahaja, kem Harimau Selatan juga nampaknya akan tempang tanpa bek kanan mereka iaitu Matthew Davies apabila pemain tersebut berkongsi keadaan semasanya selepas kejohanan Pestabola Merdeka.

Tonggak JDT berusia 28 tahun itu memaklumkan bahawa ada kemungkinan dia tidak akan beraksi dalam saingan separuh akhir menentang Perak berikutan masalah kecederaan yang dialaminya ketika bertemu Tajikistan pada pentas akhir Piala Malaysia.

Bekas pemain Pahang itu bagaimanapun bersedia memberikan persembahan terbaik jika situasi memerlukan untuk dia diturunkan untuk perlawanan penting itu dan menjaga benteng pertahanan Harimau Selatan.

WhatsApp Image 2023-10-19 at 11.21.54

Matt Davies sudah tampil dalam 24 aksi JDT bagi semua kejohanan setakat ini. — Facebook/JDT

"Saya keluar selepas separuh masa pertama (di final) kerana beberapa kecederaan. Arif Aiman ​​juga tidak meneruskan babak kedua dan kemungkinan masih 50-50 untuk saya menentang Perak nanti.

"Tetapi kami adalah pemain profesional dan perlu bersedia untuk sebarang situasi. Kami perlu menukar fokus kami daripada skuad kebangsaan kepada kelab dan saya tidak menghadapi sebarang masalah dengan itu," katanya kepada Majoriti selepas aksi final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Matthew atau lebih mesra dengan panggil Matt itu juga menambah bahawa dia yakin dengan kebolehan rakan sepasukannya untuk mengekalkan rentak kemenbangan dan mengambil peluang untuk mengaut empat kejuaraan domestik dalam semusim untuk tahun kedua berturut-turut.

Dalam perkembangan berbeza, pemain Malaysia-Australia itu juga mendedahkan perkara yang dibincangkan bersama barisan pemain dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di bilik persalinan sejurus perlawanan tamat.

"Tak banyak pun yang dibincangkan ketika di bilik persalinan. Kami pun tiada briefing (penjelasan) dan boleh nampak juga semua kecewa dan Datuk presiden (Datuk Hamidin) pun faham benda ini boleh berlaku. Ini bola sepak.

"Bercakap mengenai kesilapan beberapa pemain, saya tak nak letak ia sebagai kesilapan individual. Bagi saya kita satu pasukan, jadi kita menang sama-sama dan kalah sama-sama," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram