Jadual padat buka ruang trio JDT turun lawan Perak FC di Ipoh


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

JDT perlu membuat penggiliran memandangkan mereka berdepan jadual padat, termasuk dalam saingan ACL selepas ini.

JOHOR Darul Takzim (JDT) memiliki peluang cerah untuk mengaut empat kejuaraan domestik dalam semusim untuk tahun kedua berturut-turut.

Selepas dinobatkan juara Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih, skuad Harimau Selatan hanya perlu membawa pulang Piala Malaysia bagi melengkapkan catatan bersejarah itu.

Mereka kini dilihat sebagai pasukan pilihan setelah menyingkirkan Kelantan FC (10-0) dalam pusingan pertama dan Negeri Sembilan FC (7-1) di peringkat suku akhir.

Kini, mereka hanya perlu berdepan Perak FC untuk melangkah ke pentas akhir dalam edisi keempat berturut-turut setelah melakukannya sejak 2019.

Meskipun lawan mereka tersebut berada di kedudukan ke-11 Liga Super, JDT pastinya tidak mahu memandang rendah kebolehan dan keupayaan skuad The Bos Gaurus (TBG).

393410177_1028994384840464_9138176569495742777_n

Beberapa pemain JDT sibuk sepanjang kempen Pestabola Merdeka 2023. Facebook/FAM

Ini kerana pasukan Utara tanah air itu sudah menyingkirkan dua pasukan pilihan, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC dengan persembahan cukup menakjubkan.

Bagaimanapun, satu lagi cabaran perlu dihadapi skuad Harimau Selatan apabila beberapa tonggak utama mereka berdepan jadual padat, termasuk pemain negara yang beraksi dalam Pestabola Merdeka.

Selain itu, mereka juga perlu melakukan rombakan terhadap kesebelasan utama memandangkan skuad Harimau Selatan bakal berentap dalam saingan Liga Juara-juara AFC (ACL) menentang Ulsan Hyundai pada 24 Oktober.

Jadi, situasi tersebut akan mendesak ketua jurulatih, Esteban Solari untuk membuat penggantian dengan membawa masuk beberapa nama yang kurang meraih minit permainan setakat ini.

Melihat kepada senarai, terdapat tiga pemain yang berkemungkinan akan diturunkan dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat.

1. Takahiro Kunimoto

Selepas membuat debutnya buat JDT ketika berdepan Kelantan FC 19 Ogos lalu, nama Takahiro Kunimoto seperti mula dilupakan peminat pasukan Selatan tanah air itu.

Dia yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut seperti gagal menambat hati Solari dengan pengendali kelahiran Argentina itu lebih cenderung untuk menurunkan Juan Muniz.

Selain itu, persembahannya ketika aksi sulung berdepan KDA FC turut mencuri perhatian dengan segelintir pihak berpendapat pemain kelahiran Jepun berkenaan jarang membuat tekanan terhadap lawannya.

367485309_863563105139667_1373860830238561470_n (1)

Kunimoto masih bergelut untuk mendapatkan minit permainan bersama JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jadi, terdapat kemungkinan masa depannya bersama skuad Harimau Selatan semakin samar, lebih-lebih lagi dengan khabar angin mengenai kehadiran perancang kelahiran Argentina, Elias Jalil.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan khidmat Kunimoto akan ditagih ketika aksi menentang Perak FC di tempat lawan.

Ini kerana adanya kemungkinan pemain berusia 26 tahun itu perlu diturunkan bagi menambah kualiti jentera serangan JDT.

Meskipun skuad Harimau Selatan kini memiliki Juan Muniz, kepadatan jadual akan memaksa perubahan dilakukan, sekali gus menyaksikan Kunimoto diturunkan.

2. Syahmi Safari

Sepanjang musim ini, Solari terus menagih khidmat bek kanan negara, Matt Davies untuk beraksi di posisi itu dengan pengalamannya cukup diperlukan.

Bagaimanapun, dalam saingan Pestabola Merdeka, pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia tersebut beraksi buat 135 minit secara kesuluruhan.

Jadi, dengan mereka hanya memiliki tempoh sehari untuk berehat, terdapat kemungkinan besar penggiliran bakal dibuat di posisi pertahanan sayap.

338675545_810730100647196_2535527889728840843_n

Syahmi merupakan pilihan sekiranya Davies tidak dapat diturunkan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Melihat kepada pilihan dimiliki skuad Harimau Selatan, pemain berusia 25 tahun, Syahmi Safari mempunyai peluang untuk beraksi di Stadium Perak, Ipoh.

Walaupun jarang diturunkan, pemain kelahiran Kuala Selangor berkenaan sering memberikan sumbangan setiap kali diberikan minit permainan.

Setakat ini, bekas pemain skuad Gergasi Merah itu sudah diturunkan sebanyak 11 kali dalam kesemua kejohanan dengan satu gol dan satu bantuan jaringan direkodkan.

Catatan itu dilihat sudah cukup untuk Solari memberikannya peluang dalam perlawanan pertama Piala Malaysia dalam usaha melebarkan jurang dengan skuad TBG.

3. Shahrul Saad

Gandingan bek tengah yang sering dipilih Solari musim ini sudah tentunya adalah antara Feroz Baharudin dan kapten pasukan, Jordi Amat.

Kedua-dua pemain itu dilihat cukup melengkapi antara satu sama lain, lebih-lebih lagi buat Feroz yang kerap menuruti tunjuk ajar pemain kebangsaan Indonesia berkenaan.

Bagaimanapun, melihat kepada kemampuan dan ancaman daripada skuad TBG, Solari seperti berpeluang untuk memberi peluang terhadap bek tengah negara, Shahrul Saad.

Ia berikutan beberapa perkongsian di media sosial JDT memaparkan pemain itu sudah menjalani latihan setelah beberapa minggu disisihkan akibat kecederaan.

1999333

Shahrul Saad dilihat sudah bersedia untuk diturunkan setelah bergelut dengan isu kecederaan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Sebelum ini, terdapat juga khabar yang mengatakan Jordi Amat mengalami isu kecergasan yang menyaksikannya tidak dapat beraksi ketika berdepan Negeri Sembilan FC.

Jadi, dengan khidmatnya lebih diperlukan untuk aksi ACL di Korea Selatan, Solari sudah tentu terpaksa membuat keputusan untuk menurunkan Shahrul Saad.

Selain dapat membuat penggiliran, perubahan tersebut akan memberikan bekas pemain Perak FC itu peluang untuk mendapatkan minit permainan.

Berdasarkan statistik, bek tengah berusia 30 tahun berkenaan sudah tidak diturunkan sejak kali terakhir beraksi dalam perlawanan Piala Malaysia menentang Kelantan FC di laman sendiri Ogos lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram