SOLIDARITI bersama Palestin sememangnya antara usaha yang mampu dilakukan oleh semua orang terutamanya dalam kalangan pempengaruh di media sosial ketika ini.
Prihatin dengan isu Palestin yang kian hangat diperkatakan, bekas pelakon dan pelawak Malaysia Zul Yahya, 50, merancang untuk melakukan kayuhan solidariti dari Ipoh, Perak ke Johor Bahru, Johor dan kembali ke Ipoh pada 21 Oktober ini.
Kayuhan berbasikal itu dikatakan antara usahanya yang kecil untuk menaikkan semangat dan sokongan sebagai rakyat Malaysia kepada Palestin.
Poster berkenaan kayuhan solidariti bersama Palestin yang dimuat naik oleh Zul Yahya di Facebokk pada Rabu.
"Saya juga membawa tabung sumbangan untuk sama-sama berkongsi rezeki kepada saudara kita di Palestin.
"Ayuh! Kibarkan bendera Palestin di rumah dan di premis anda tanda sokongan dan semangat kita kepada rakyat Palestin, saya nak melihat bendera Palestine sepanjang kayuhan saya," tulisnya di Facebook pada Rabu.
Namun, niat murni Zul Yahya diperlekeh sesetengah individu yang dilihat kurang sensitif terhadap isu pergolakan yang berlaku di Palestin ketika ini.
Malah, ada juga yang turut menganggap ia suatu perkara yang remeh selain menjadikan niat murni tersebut sebagai bahan gurauan.
Begitulah yang terjadi kepada Zul Yahya selepas posting yang dikongsikannya itu turut menerima ancaman dalam bentuk gurauan oleh salah seorang warga maya yang menggunakan akaun Facebook Iqbal Haikal.
"Terbaik terbaik, lalu highway (lebuh raya) ke jalan dalam Zul Yahya? Kalau lalu highway boleh nanti aku tinggal naik Hilux je 'sodok' (langgar) basikal daripada belakang," tulisnya di ruangan komen.
Susulan kenyataan tidak berasas yang telah dikeluarkan itu, rata-rata warganet lain juga dilihat mengecam dan menyeru agar pihak polis mengambil tindakan terhadap lelaki tersebut.
Komen yang ditulis oleh Iqbal Haikal yang dilihat tidak sensitif dengan isu semasa dengan bergurau kasar Zul Yahya.
"Saudara Zul Yahya nak buat kayuhan basikal menyokong Rakyat Palestin tetapi Iqbal Haikal ini mahu sodok (langgar) daripada belakang.
"Kalau betul terjadi, memang perkara pertama adalah Iqbal Haikal ini akan dikutip @PDRMsia. Hati-hati gurau kasar sebegini terutama di media sosial," tulis @StratcommPMX.
"Adakah kata-kata yang ditulis oleh Iqbal Haikal ini boleh dikategorikan sebagai cubaan ugutan terhadap Zul Yahya?.
"Diharapkan tindakan segera dapat diambil terhadap dia sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku terhadap Zul Yahya," komen @jaksrmd.
Dari sisi lainnya, ada juga yang mengatakan bahawa Zul Yahya sudah boleh membuat laporan polis terhadap komen yang berbaur ugutan walaupun di media sosial.
"Ugutan sudah boleh buat laporan! Ugutan suatu jenayah dan jangan bawa main. Polis akan bertindak sebelum perkara buruk berlaku!," tulis @azlanlajis.
Bagaimanapun, Zul Yahya dilihat tidak memberikan sebarang komen balas dan masih tiada lagi tindakan yang diambil oleh pihak polis setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram