Terima mesej dikritik individu tidak dikenali, Kim Pan-gon mahu penyokong bersatu hati demi HM


  • Podium
  • Rabu, 18 Okt 2023

Pan-gon menjadi sasaran penyokong selepas kegagalan skuad negara dalam mempertahankan kejuaraan Pestabola Merdeka. — Facebook/FAM

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mempertahankan anak-anak buahnya daripada terus dikritik penyokong selepas gagal merangkul trofi Pestabola Merdeka di tangan Tajikistan sebaik tewas dengan keputusan 0-2 pada Selasa.

Kesilapan yang dilakukan oleh Dominic Tan menambah kemarahan penyokong-penyokong Harimau Malaya ketika skuad kebangsaan sedaya upaya cuba menyamakan kedudukan.

Pan-gon berkata, beliau dan pemain-pemain telah menerima banyak mesej daripada individu-individu tidak dikenali menyerang dan mengherdiknya selepas tamat perlawanan.

Jurulatih berusia 54 tahun itu turut menerima segala kritikan dengan terbuka dan meminta penyokong untuk tidak menyerang pemain-pemain kerana segala keputusan datang daripada dirinya.

WhatsApp Image 2023-10-18 at 1.06.11 PM

Reaksi Pan-gon ketika dalam sidang media.

"Beberapa minit sebelum, saya menerima banyak mesej daripada orang yang tidak dikenali.

"Serang saya, herdik saya, serang pemain-pemain. Saya ambil semua tanggungjawab sebab segalanya datang dari saya.

"Daripada sudut perancangan, pemilihan, kesebelasan utama, pertukaran pemain, dan apa-apa boleh dikritik pada bahagian saya dan bukannya pemain.

"Semua orang boleh buat silap, walaupun dalam Piala Dunia pemain bintang juga buat kesilapan.

"Lebih baik untuk kita tidak mengkritik pemain kerana mereka dah bagi 110 peratus (%) malam ini (Selasa)," katanya kepada media selepas tamat perlawanan akhir Pestabola Merdeka.

Pan-gon turut meminta penyokong untuk bersama-samanya terus memberikan sokongan membantu Harimau Malaya daripada bergaduh sesama sendiri yang boleh menyebabkan perpecahan.

"Menang sama-sama, kalah sama-sama itu lebih baik daripada bergaduh sesama sendiri.

"Anda hantar mesej kritik saya, saya boleh terima kerana saya dibayar gaji. Tetapi pemain tak ada apa yang mereka dapat.

"Mereka terpilih ke sini untuk berjuang atas nama Malaysia mereka tak layak untuk mendapat kritikan seperti itu," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram