[VIDEO] Dibuang padang pengadil Malaysia, bintang Spurs campur tangan urusan kad merah Vietnam


  • Podium
  • Rabu, 18 Okt 2023

Heung-min bersama rakan sepasukan lain meminta Amirul Izwan menarik semula kad merah yang dilayangkan ke atas Viet Anh.

"SON Heung-min meminta pengadil perlawanan untuk tarik balik kad merah yang dilayangkan kepada Bui Hoang Viet Anh."

Itulah reaksi Heung-min selepas bek tengah berusia 24 tahun itu dilayangkan kad merah oleh pengadil negara, Mohd Amirul Izwan Yaacob dalam perlawanan persahabatan di antara Korea Selatan dan Vietnam pada Selasa.

Dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Piala Dunia Suwon, Korea Selatan itu menyaksikan Vietnam tewas besar dengan jaringan 0-6.

Pada minit ke-61, Viet Anh membuat terjahan ke atas kapten Tottenham Hotspur itu sebelum dia mara ke dalam kotak penalti pasukan pelawat.

Amirul Izwan yang melihat insiden itu tidak teragak-agak melayangkan kad kuning kedua sekali gus kad merah kepada pemain berusia 24 tahun itu.

Kad Merah

Viet Anh membuat terjahan ke atas kapten Tottenham Hotspur sekali gus dilayangkan kad kuning kedua oleh Amirul Izwan. Agensi

Ini mendorong Heung-min meminta pengadil Malaysia itu agar mempertimbang semula keputusannya yang mana penyerang Spurs itu melihat terjahan dilakukan Viet Anh tidak disengajakan.

Hujah Heung-min turut disokong beberapa pemain Korea Selatan dan Vietnam yang meminta Amirul Izwan menyemak semula keputusan di skrin Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bagaimanapun, pengadil Malaysia itu kekal dengan keputusannya, namun apa yang menarik sebelum Viet Anh meninggalkan padang, Heung-min berjabat tangan dengannya sebagai tanda hormat.

Keputusan ini menyaksikan Viet Anh digantung untuk aksi persahabatan Vietnam seterusnya.

Dalam media sosial, ramai peminat Vietnam dan Korea Selatan memuji keperibadian yang ditunjukkan bekas penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Perlawanan tersebut menyaksikan Korea Selatan membelasah Vietnam 6-0 di Suwon sekali gus menjadi kemenangan terbesar mereka di bawah bimbingan Jurgen Klinsmann setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram