'Ia sangat susah kerana penyokong', bintang Kedah akui pengalaman Liga Super bantu Tajikistan rangkul trofi Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Rabu, 18 Okt 2023

Tajikistan turun tanpa 15 pemain-pemain utama untuk merangkul trofi sulung Pestabola Merdeka mereka. — Facebook/Tajikistan Football Federation

SATU Malaysia dikejutkan dengan kekalahan 0-2 di tangan Tajikistan meskipun Harimau Malaya menjadi pasukan pilihan untuk merangkul trofi Pestabola Merdeka berdasarkan prestasi semasa skuad kebangsaan.

Kesilapan Dominic Tan mengundang padah apabila memberikan pasukan pelawat menjaringkan gol kedua pada lewat permainan walaupun Malaysia menguasai perlawanan untuk menyamakan kedudukan.

Gol pertama Tajikistan dikatakan ofsaid selepas dianalisa oleh barisan kejurulatihan Kim Pan-gon namun pengadil tetap membenarkan jaringan tersebut.

Keputusan tamat dengan jaringan 0-2 sekali gus Harimau Malaya terlepas untuk menjuarai Pestabola Merdeka selepas kali terakhir pada 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Namun begitu, perlawanan berlangsung sengit meskipun Harimau Malaya tewas buat kali kedua tahun ini selepas tidak merekodkan sebarang kekalahan sejak pertemuan menentang Turkmenistan pada 23 Mac lalu.

Tajikistan

Tajikistan menjuarai Pestabola Merdeka selepas menundukkan Harimau Malaya. — Facebook/Tajikistan Football Federation

Pemain tengah Tajikistan, Amirbek Juraboev mengakui ia perlawanan yang sangat susah kerana Malaysia mempunyai sokongan padu daripada pemain-pemain ke-12 yang hampir memenuhi setiap ruang Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Perlawanan yang hebat, sangat susah untuk kami (Tajikistan) kerana Malaysia beraksi di halaman sendiri dan terlalu ramai penyokong.

"Kami beraksi dengan pemain-pemain muda yang mempunyai pengalaman yang bagus dan semoga berjaya Malaysia untuk Kelayakan Piala Dunia 2026 November depan," katanya kepada Majoriti.

Amirbek Kedah

Amirbek merupakan tonggak utama Kedah musim ini. — Facebook/KDA FC

Tambahnya lagi, dia mengakui mengenali beberapa bintang dalam Liga Super yang menyebabkan perlawanan menetang Malaysia sangat sukar kerana mereka mempunyai pengalaman yang bagus.

"Ya, saya lawan pemain yang saya sudah kenal dalam Liga Super ia perlawanan yang sangat sukar kerana mereka mempunyai pengalaman bagus.

"Tapi apa yang penting kami menang sekarang, pengadil sentiasa memberikan kelebihan buat Malaysia tetapi ia okay sekarang.

"Sebelum perlawanan jurulatih (Petar Segrt) meniupkan kata-kata semangat buat pemain-pemain supaya tidak gugup beraksi di sini (SNBJ).

"Jurulatih kata kami tidak mempunyai tonggak utama tetapi dia panggil semua pemain muda untuk bermain tanpa rasa takut dan relaks bila menuju ke padang," jelasnya.

Amirbek akan pulang ke Alor Setar, Kedah pada Rabu selepas selesai makan tengah hari untuk melakukan persiapan menentang Negeri Sembilan FC bagi terus menghimpit kedudukan Selangor FC sekali gus beraksi di Asia musim depan.

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dijadualkan menentang Negeri Sembilan pada 28 Oktober depan sebelum berdepan baki tiga perlawanan berdepan cabaran Kelantan FC, Selangor FC dan Sabah FC sebagai penutup tirai Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram