
BERBAKI empat perlawanan terakhir Liga Super 2023, Kedah Darul Aman (KDA) FC kini mempunyai misi penting untuk merebut slot ke saingan antara kelab Asia musim depan.
Berada di kedudukan ketiga liga, skuad Sang Kenari hanya dibezakan dengan lima mata dengan Selangor FC di tangga kedua dan turut mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Usaha bagi mendapat tempat ke kejohanan Asia itu cukup penting bagi membolehkan anak buah Nafuzi Zain tidak menamatkan musim ini dengan tangan kosong.
Ia selepas KDA FC gagal untuk merangkul sebarang kejuaraaan pada kejohanan disertai pada tahun ini apabila tersingkir awal dalam saingan Piala FA, Piala Malaysia dan termasuk Challenge Cup.
KDA FC kini dalam misi untuk berada di kedudukan kedua bagi membolehkannya memperolehi slot berakdi di kejohanan peringkat Asia. — Facebook/KedahDarulAmanFC
Secara umumnya, pencapaian yang direkodkan skuad Sang Kenari disifatkan agak sederhana dengan mengambil kira rombakan menyeluruh yang dibuat pada musim ini.
Ia termasuk dengan membawa masuk import baharu dengan menggantikan kesemua import yang ditandatangani pada musim lalu.
Disebabkan itu, terdapat pihak juga berpandangan adalah terlalu awal untuk menilai prestasi sebenar pasukan memandangkan ini merupakan musim pertama ia dibentuk dan diterajui oleh Nafuzi.
Bagaimanapun, belum tamat baki saingan kali ini, terdapat beberapa nama import pasukan mula dikaitkan dengan perpindahan ke kelab luar.
Antara yang menarik perhatian tentunya mengenai ura-ura yang dikaitkan dengan tonggak import utama pasukan iaitu Manuel Hidalgo.
Ekoran prestasi cemerlangnya bersama skuad Sang Kenari, pemain kelahiran Argentina yang berusia 24 tahun itu dikatakan menarik minat beberapa kelab utama di Liga 1 Indonesia iaitu PS Barito Putera dan PSIS Semarang.
Setakat ini, perkembangan tersebut masih di tahap sekadar hanya khabar angin dengan Hidalgo turut dilaporkan menyatakan komitment untuk terus bersama KDA FC.
Hidalgo dikaitkan dengan perpindahan keluar ke kelab di Liga 1 Indonesia. — Facebook/KedahDarulAmanFC
Namun, pelbagai kemungkinan boleh terjadi, lebih-lebih sekiranya kedua-dua pasukan yang berminat itu mula mengemukakan tawaran rasmi kepada pengurusan skuad Sang Kenari.
Untuk rekod, Hidalgo yang beraksi di posisi sayap kanan merupakan bekas prospek kelab berpangkalan di England, Sheffield Wednesday mula menyertai KDA FC pada musim ini apabila berpindah daripada Sri Pahang FC.
Dia dilihat tidak memerlukan masa yang lama untuk mempamerkan bakatnya apabila berjaya mencatatkan 10 bantuan gol dan empat jaringan dalam aksinya di kesemua 24 perlawanan.
Rekod tersebut meletakkan sebagai pemain paling banyak membuat bantuan jaringan gol di dalam pasukan.
Selain Hidalgo, seorang lagi pemain import dikatakan akan turut berpindah keluar pada musim depan ialah penyerang pasukan baru ditandandatangani ketika perpindahan pertengahan musim ini iaitu Ifedayo Olusegun.
Kemungkinan itu mula timbul selepas terdapat cakap-cakap daripada penyokong menyifatkan prestasi dipamerkannya sepanjang sembilan perlawanan bersama KDA FC tidak mencapai sesuatu diharapkan buat pasukan.
Ifedayo ketik beraksi bersama KDA FC pada musim ini. — Facebook/KedahDarulAmanFC
Selain daripada banyak mensia-siakan peluang, pemain kelahiran Nigeria berusia 32 tahun ini turut dikatakan tidak mempunyai gaya permainan yang mampu membawa skuad Sang Kenari ke tahap lebih tinggi.
Bagaimanapun, melihatkan kepada statisik jaringannya, kritikan terhadap prestasinya itu boleh dipersoalkan.
Ini kerana meskipun baru menyertai pasukan dan beraksi hanya dalam sembilan perlawanan, dia sudah berjaya merekodkan tujuh jaringan buat pasukan.
Rekodnya di Liga Super juga sangat cemerlang dengan daripada tujuh perlawanan dia diturunkan, bekas penyerang Selangor FC ini hanya gagal mencipta jaringan dalam satu perlawanan iaitu ketika menentang Penang FC.
Melihatkan kepada senario kemungkinan perpindahan keluar dua pemain tonggak ini, ia pastinya sedikit sebanyak mengingatkan penyokong terhadap kisah penghijrahan dua bekas bintang yang pernah menyarung jersi Hijau Kuning.
Dua nama tersebut ialah pemain tengah Jordan, Mahmoud al-Mardi dan penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja.
Untuk rekod, kedua, dua tonggak import ini hanya beraksi bersama KDA FC selama semusim iaitu pada 2021/2022.
Meskipun mempunyai tempoh yang singkat, Mahmoud, 30, dan Ronald, 32, keduanya menunjukkan prestasi yang agak memberangsangkan pada musim pertamanya.
Mahmoud (kiri) dan Ronald hanya beraksi semusim bersama skuad Kedah sebelum berpindah keluar ke kelab lain. — Facebook
Dalam tempoh tersebut, Mahmoud yang beraksi di posisi sayap kanan berjaya mencatatkan sembilan gol dan tujuh bantuan jaringan manakala Ronald pula merekodkan 15 jaringan dan lima bantuan gol.
Disebabkan itu, keputusan pihak pengurusan untuk melepaskan kedua-dua pemain ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokong setia Hijau Kuning.
Ini kerana mereka berpendapat, langkah tersebut membantutkan usaha pasukan untuk membina skuad yang lebih ampuh bagi bersaing dengan lebih kompetitif selepas beberapa musim yang tidak menentu sebelum ini.
Justeru, kemungkinan perpindahan dua tonggak semasa pasukan kali ini iaitu Hidalgo dan Ifedayo tentunya perlu diberikan penilaian yang mencukupi agar skrip sama tidak berulang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram