Nama tidak disebut coach PSSI Semarang, petanda Hidalgo setia bersama Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 10 Okt 2023

Hidalgo membuat 10 bantuan jaringan dalam 21 perlawanan Liga Super bersama Kedah setakat ini. — Facebook/KDAFC

KETIADAAN import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo dalam beberapa aksi penting jelas memberi impak kepada bahagian serangan Sang Kenari sehingga akhirnya menyaksikan mereka tersingkir pada saingan Challenge Cup.

Skuad Hijau Kuning tewas 0-3 di tangan Kuching City pada aksi kedua Challenge Cup di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Rabu dan keputusan agregat 0-4 mengesahkan slot separuh akhir milik kelab berpangkalan di Borneo tersebut.

Difahamkan ketiadaannya adalah disebabkan kecederaan pada buku lalinya sehingga memaksa pemain sayap kelahiran Argentina itu tidak dapat turun membantu KDA FC untuk merebut trofi dalam saingan Challenge Cup.

Ketika ketiadaannya itu, muncul khabar angin mengatakan pemain berusia 24 tahun tersebut akan berhijrah ke Indonesia dengan menyertai kelab BRI Liga 1, PSIS Semarang pada jendela perpindahan musim depan.

rumours hidalgo

Hidalgo sebelum ini dikaitkan bakal ke PSIS Semarang.

Justeru itu, tidak hairanlah jika penyokong berpangkalan di Utara tanah air tersebut mula gundah-gulana kerana membayangkan bekas pemain Pahang itu akan menyarung jersi skuad Laskar Mahesa Jenar pada musim 2024.

Namun, bayangan Hidalgo akan beraksi di Liga Indonesia nampaknya hanyalah sekadar berita persinggahan apabila pengendali Semarang tidak menyebut nama bekas prospek Sheffield Wednesday itu.

Perkara itu dapat disahkan apabila pengendali Semarang, Yoyok Sukawi tidak menyebut nama Hidalgo sebagai antara pemain kelab kendaliannya pada musim depan dan sebaliknya memberi petunjuk akan kekal menggunakan khidmat import sedia ada.

Musim ini PSIS Semarang sudah mempunyai enam pemain import iaitu Carlos Fortes (Portugal), Paulo Gali (Timor Leste), Taisei Marukawa (Jepun), Boubakary Diarra (Perancis) dan Lucao (Brazil).

hidalgo

Hidalgo ketika hadir ke Hari Pelanggan Pos Malaysia di Alor Setar pada Isnin.

"Kalau nanti kita bawa pemain baharu, sudah tentu seseorang itu perlu dinilai. Saya rasa di PSIS Semarang, enam pemain import kita semuanya telah memberikan sumbangan maksimum di posisi masing-masing," katanya memetik portal Denpasar pada Isnin.

Selain kenyataan dari pengendali Semarang, kelibat Hildago yang hadir menjayakan program Hari Pelanggan Pos Malaysia di Alor Setar, Kedah pada Isnin juga secara tidak langsung membuktikan kesetiaan tonggak sayap itu bersama Kedah.

Untuk rekod, walaupun tidak mencatatkan rekod jaringan yang tinggi, Hidalgo telah melakukan 10 bantuan jaringan dalam 21 perlawanan Liga Super bersama Kedah setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram