
HARIMAU Malaya perlu mempersiapkan segala senjata untuk dibawa sebagai kelengkapan untuk menentang pasukan Tajikistan, yang mana diketahui berada di ranking jauh lebih tinggi daripda Malaysia.
Tajikistan yang berada pada ranking ke-110 dunia itu difahamkan akan tampil sedikit tempang apabila pengendali, Peter Segrt mendedahkan bahawa skuad mereka kehilangan 15 pemain utama untuk pentas final kejohanan Pestabola Merdeka pada Selasa.
Kehilangan lebih separuh tonggak utama dilihat akan memberi peluang keemasan kepada skuad kebangsaan untuk memperoleh kemenangan namun tidak bermakna pasuka dari Asia Tengah itu akan memberi laluan mudah kepada Harimau Malaya.
Masakan tidak, pemain tengah berkaliber mereka iaitu Amirbek Juraboev dijangka akan menjadi duri dalam daging buat pasukan kebangsaan terutamanya apabila tonggak berusia 27 tahun itu mempunyai pengalaman beraksi di Liga Super bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Amirbek ketika bersama skuad Tajikistan. — Agensi
Meskipun sering diturunkan sebagai pemain dengan peranan bertahan, namun tonggak yang baharu menyertai Sang Kenari pada awal musim itu mempunyai kebolehan untuk merencanakan mahupun menyudahkan segala peluang yang terhidang.
Ia dapat dibuktikan apabila jeneral tengah Hijau Kuning itu sudah menjaringkan lima gol penting dalam 19 penampilan Liga Super buat skuad Sang Kenari setakat ini, selain memainkan watak sebagai kesebelasan utama sebanyak 17 kali.
Walaupun Amirbek dijangka memberi kesusahan kepada anak-anak buah Kim Pan-gon namun perancang tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin sedia untuk menghadapi cabaran tersebut dan optimis mampu berikan saingan sengit.
"Semestinya setiap pemain mereka akan memberi cabaran. Di skuad kebangsaan juga, semua pemain sukakan cabaran. Menentang pasukan yang berada di ranking lebih tinggi, saya percaya kami akan menjadi lebih baik.
"Kami percaya kita sepatutnya berada di ranking yang lebih tinggi dan kami mahu buktikan itu pada perlawanan akhir nanti,” kata Stuart memetik video yang dimuatnaik oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran di platform X.
Stuart sudah mempunyai enam kaps bersama Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Sejak namanya dipanggil bagi kejohanan Piala AFF 2022, nama pemain warisan Malaysia-Inggeris itu semakin meningkat naik dan dia diberi kepercayaan untuk menggerakkan bahagian tengah dan menjadi perantara kepada barisan hadapan Harimau Malaya.
Di peringkat kelab pula, pemain berusia 25 tahun itu turut menampilkan persembahan cemerlang dengan menjaringkan enam gol dan dua hantaran bantuan dalam 22 perlawanan Liga Super untuk Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram