SETELAH tersingkir daripada Piala FA dan Piala Malaysia pada peringkat awal, Kedah Darul Aman (KDA) FC sekali lagi berputih mata dalam saingan MFL Challenge Cup.
Meskipun diangkat sebagai pasukan pilihan dalam pertandingan berkenaan, skuad Sang Kenari terpaksa melupakan hasrat untuk muncul juara apabila disingkirkan Kuching City FC.
Dalam kedua-dua perlawanan, pasukan kendalian Nafuzi Zain mengalami dua kekalahan yang menyaksikan mereka ditunjukkan jalan keluar dengan agregat 0-4.
Penyingkiran terbabit sudah tentu menyebabkan ramai penyokong Hijau Kuning kurang berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan memandangkan Kuching City FC berada di tangga kedua tercorot Liga Super.
Malah, penyingkiran daripada MFL Challenge Cup itu turut mencipta luka yang dalam buat penyokong skuad Sang Kenari memandangkan skuad The Cats kini berada di bawah bekas pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak.
Skuad The Cats mengesahkan tempat dalam separuh akhir MFL Challenge Cup selepas menyingkirkan KDA FC. — Facebook/Kuching City FC
Jurulatih kelahiran Singapura tersebut pernah mencipta kenangan manis bersama pasukan Utara tanah air tersebut apabila membantu mereka menjulang Piala FA 2019.
Selain itu, tempoh perkhidmatannya selama kira-kira empat musim turut menyaksikan skuad Sang Kenari berjaya menampilkan persembahan konsisten dalam Liga Super.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong Hijau Kuning berasakan kemenangan itu dianggap sebagai satu misi balas dendam buat Aidil.
Bagaimanapun, menurut pengendali berusia 46 tahun tersebut, kejayaan berkenaan bukanlah diraih kerana dia mahu membantu Kuching City FC melakar kejayaan tersendiri.
"Saya rasa berpuas hati dan cukup berbangga, tetapi saya juga sedikit bersimpati dengan situasi semasa KDA FC.
"Namun, pada penghujungnya, saya kini bersama Kuching City FC dan saya hanya memberikan perhatian penuh buat mereka," katanya dalam sesi sidang media selepas aksi Liga Super antara skuad The Cats dan PDRM FC pada Ahad.
Aidil memainkan peranan penting ketika membantu Kedah menjuarai Piala FA 2019.
Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan skuad Sang Kenari berdepan isu tunggakan gaji dengan beberapa sumber mengatakan mereka tidak menerima bayaran untuk beberapa bulan.
Ia bagaimanapun masih belum disahkan pihak pengurusan kelab yang memilih untuk berdiam diri mengenai masalah terbabit meskipun kerap dipersoalkan.
Jelas Aidil lagi, kemenangan ke atas KDA FC dilihat cukup bermakna buat mereka memandangkan kedua-dua pasukan berada di situasi cukup berbeza musim ini.
"Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengatasi Kedah meskipun kami mencatatkan kemenangan 4-0 secara agregat dengan pasukan yang berada di dasar Liga Super.
"Tetapi, itulah rencah dalam bola sepak serta pertandingan. Jadi, saya harap kejayaan berkenaan akan memberi motivasi buat pemain dan untuk saya membawa pasukan ini ke tahap lebih tinggi," katanya.
Aidil sebelum ini dilantik sebagai pengendali Kuching City FC selepas mereka kehilangan khidmat jurulatih ternama, Irfan Bakti Abu Salim.
Meskipun masih belum membuahkan hasil dalam Liga Super, kejayaan untuk membawa skuad The Cats ke separuh akhir MFL Challenge Cup sudah cukup membanggakan buat pasukan berpangkalan di Borneo itu.
Kuching City FC bakal berdepan Kelantan United untuk mengesahkan tiket ke pentas akhir kejohanan dengan dua lagi pasukan, PDRM FC dan Penang FC turut berpeluang melangkah ke peringkat seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram