'Memang struggle', Azamuddin Akil akhirnya luah punca sebenar kalah 0-10 dengan UAE


  • Sukan
  • Khamis, 19 Okt 2023

Azamuddin pernah beraksi bersama JDT pada 2017 sebelum berhijrah ke Selangor.

SELURUH negara masih belum berhenti bercakap mengenai kekalahan Harimau Malaya di tangan Tajikistan apabila skuad kebangsaan terlepas peluang untuk merangkul trofi Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ia merupakan kekalahan pertama Kim Pan-gon tahun ini jika tidak mengambil kira kejohanan Piala AFF yang mana Harimau Malaya tewas kepada Thailand pada Januari lalu.

Jika mengikuti perkembangan semasa skuad kebangsaan, Kim Pan-gon sudah bereksperimen dengan banyak pemain demi mendapatkan kesebelasan utama terbaik yang ada ketika ini.

Tetapi ramai penyokong yang masih lagi mengkritik dengan cara pemilihan serta corak permainan yang ditampilkan Harimau Malaya.

Adakah ia masih tidak cukup bagus untuk penyokong-penyokong Harimau Malaya?

Anda lupa, tarikh 3 September 2015, menjadi detik hitam bola sepak negara apabila Harimau Malaya dikejutkan dengan kekalahan besar 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Keputusan itu juga terus menenggelamkan kekalahan memalukan 0-6 ketika menentang Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil beberapa bulan sebelumnya.

Alex 2

Kali terakhir Alex beraksi untuk Malaysia pada 2017.

Menerusi temu bual Harimau Malaya dengan legenda Malaysia, Azamuddin Akil mendedahkan punca sebenar kekalahan skuad kebangsaan ke atas UAE disebabkan cuaca yang sangat panas sehingga mencecah 50 darjah celsius.

"Kes dia sebenarnya macam ini, masa itu kami (Malaysia) pergi UAE panas dia dekat 50 darjah celsius.

"Contohnya kalau kita duduk luar daripada hotel, tak sampai dua minit terus berpeluh satu baju.

"Waktu itu semua pemain memang 'struggle', masa perlawanan kami ingat cuaca sejuk sebab main malam.

"Tapi sebenarnya tidak, masa itu cuaca sekitar 40-43 darjah celsius, tapi itulah kalau kita cakap suhu punca kekalahan memang orang tak boleh terima.

"Masa itu pemain semua memang tak boleh main, UAE masa itu dah biasa dengan cuaca macam itu," katanya.

Bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu juga menjelaskan susana sepi dalam bilik persalinan selepas tamat perlawanan yang mana Datuk Dollah Salleh sudah mengumumkan akan meletakkan jawatan lebih awal.

"Masuk ke bilik persalinan semua tak bercakap, sampai di hotel makan tak bercakap sampai dalam bilik.

"Semua duduk diam, fikir apa? Macam mana kita nak balik, 'confirm' masa itu wartawan akan tunggu punya.

"Tapi waktu itu 'coach' Dollah dah cakap dia akan letak jawatan sebaik sampai Malaysia. Sebab dia ambil tanggungjawab itu," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram