[VIDEO] Laporan polis, insiden terowong antara momen hitam Piala FA JDT dan T-Team


  • Podium
  • Khamis, 19 Okt 2023

Perselisihan itu kemudian turut membabitkan pemain-pemain JDT dan difahamkan ia berlanjutan hingga kedua- dua pasukan memasuki bilik persalinan.

MASIHKAH anda ingat dengan insiden yang berlaku pada 2014 di antara Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team sehingga menyebabkan Piala FA terpaksa ditangguhkan ketika itu?

Dalam aksi pusingan kedua Piala FA, yang berlangsung di Stadium Larkin, Johor itu terpaksa ditangguhkan selepas pasukan pelawat enggan meneruskan perlawanan sebaik sahaja babak separuh masa kedua bermula.

Pelawanan tampak berjalan dengan baik pada babak pertama, dengan JDT mendahului 2-1, hasil dua gol jaringan Luciano Figueroa dan T-Team membalas menerusi jaringan Marzuki Yusof.

Namun, sebaik pengadil perlawanan, menamatkan aksi babak pertama, kelihatan pengendali JDT ketika itu, Cesar Jimenez bertikam lidah dengan jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo.

Perselisihan itu kemudian turut membabitkan pemain-pemain JDT dan difahamkan ia berlanjutan hingga kedua- dua pasukan memasuki bilik persalinan.

Tidak terhenti di situ, staf pasukan T-Team membuat laporan polis sebaik sahaja tiba di Terengganu berikutan seorang pegawai dan pemain pasukan itu telah didakwa ditumbuk dan ditendang dalam terowong semasa hendak memasuki bilik persalinan.

Selepas tamat waktu rehat, T-Team masih tidak memasuki semula padang walaupun pemain-pemain JDT sudah bersedia memulakan aksi separuh masa kedua.

T-Team kemudiannya terus bergegas meninggalkan stadium dan cubaan media mendapatkan reaksi pengendali pasukan, Azraai Khor Abdullah dan pemain-pemainnya ketika itu gagal dicapai.

Wakil media yang membuat liputan, kemudiannya dihalang pegawai JDT untuk menemubual pemain dan pegawai pasukan tuan rumah mengenai insiden yang berlaku.

Disebabkan tindakan T-Team yang meninggalkan stadium semasa perlawanan sedang berlangsung, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengambil tindakan dengan memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT sekali gus Harimau Selatan layak ke suku akhir Piala FA 2014.

Namun begitu, JDT juga dikenakan denda RM30,000 oleh FAM selepas didapati bersalah kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi pada aksi perlawanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram