TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudi untuk menyediakan gelanggang keramat Johor Darul Takzim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri sebagai venue untuk Harimau Malaya.
Respons dari pemilik kelab Harimau Selatan itu adalah susulan rumput di rumah rasmi Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tercabut di beberapa bahagian padang ketika aksi sulung Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan India pada Jumaat.
"This is the proven product. Dah terbukti. Tetapi kena jaga betul betul. Tiada beza. Rumput sama, kontraktor sama. Beza dia di SNBJ, tak ada TMJ di situ, itu saja. @FAM_Malaysia (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kalau nak pakai SSI cakap saya siapkan," tulisnya.
SNBJ yang baru dinaik taraf menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia dan dilancarkan pada Khamis, mendapat kritikan orang termasuk pemain serta jurulatih skuad The Blue Tigers berikutan ia dilihat merencatkan permainan kedua-dua pasukan.
Sebelum ciapan tawaran menjadikan SSI sebagai venue itu, Tunku Ismail turut mendedahkan bahawa padang baharu di SNBJ itu tidak sepatutnya digunakan pada kejohanan berkenaan ekoran ia perlu diberikan lebih masa untuk berada pada kualiti terbaik.
"Padang tu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akar dia kuat. Macam padang Stadium Sultan Ibrahim. Tetapi national team nak pakai secepat mungkin.
"Itu atas keputusan FAM dan pihak stadium. Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang kurangnya lagi dua atau tiga bulan. Kontraktor ni kontraktor yang sama buat padang JDT.
"Semalam (Khamis) semasa majlis penyerahan padang saya cakap kepada semua yang padang ni perlu lebih masa kerana akar dia belum kuat. Saya juga sampaikan kepada semua yang berada di situ yang padang tersebut akan terkopak esok semasa perlawanan," tulisnya pada ciapan berbeza di platform X.
Dengan kemenangan 4-2 ke atas India menerusi jaringan dari Dion Cools, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Corbin-Ong membawa Malaysia ke pentas akhir kejohanan Pestabola Merdeka pasti menjadi kerisauan penyokong jika keadan padang akan merosakkan tempo permainan skuad kebangsaan.
Malaysia dijadualkan menentang Tajikistan di perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 selepas negara itu mendapat 'bye' susulan penarikan diri pasukan Palestin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram