MASALAH rumput baharu rumput jenis Zeon Zoysia yang baru sahaja siap di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur akan diatasi dan dijangka pulih sepenuhnya menjelang kelayakan Piala Dunia 2026 pada November.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tompokan bertentangan ‘grandstand’ itu kurang kukuh akibat pendedahan cahaya matahari yang lebih rendah di kawasan tersebut.
“Namun, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana PSM telah menggunakan ‘grow light’ bagi merangsang pertumbuhan rumput di sekitar kawasan tompokan itu tetapi ia tetap tidak sama dengan keupayaan sinaran matahari semula jadi.
“Bagaimanapun, PSM yakin perkara tersebut akan di atasi dan tompokan tertentu di padang Stadium Nasional Bukit Jalil bakal pulih sepenuhnya menjelang Kelayakan Piala Dunia,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
PSM turut memaklumkan bahawa tempoh lapan bulan yang diperuntukkan untuk perbadanan berkenaan menyediakan secara rapi adalah tidak cukup, berikutan ia mengambil masa 12 bulan untuk keseluruhan proses siap sepenuhnya.
Aksi Ahmad Syihan Hazmi Mohamed membaiki semula keadaan rumput pada aksi pembukaan Pestabola Merdeka 2023. — Facebook/Bernama
Bukan itu sahaja, keadaan hujan juga tidak membantu dalam penyediaan pertumbuhan padang baharu itu sehingga berlaku masalah tidak diingini.
“Di sebalik beberapa tompokan rumput yang tercabut, PSM berpuashati dengan keupayaan sistem perparitan baharu dan kemajuan dalam padang tersebut.
“PSM akan menggunakan sepenuhnya masa satu bulan akan datang untuk memastikan persediaan lengkap padang menjelang Kelayakan Piala Dunia bagi Malaysia,” tambah kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga mendedahkan bahawa padang baharu di SNBJ itu tidak sepatutnya digunakan pada kejohanan berkenaan ekoran ia perlu diberikan lebih masa untuk berada pada kualiti terbaik.
"Padang tu sepatutnya diberikan lebih masa untuk akar dia kuat. Macam padang Stadium Sultan Ibrahim. Tetapi national team nak pakai secepat mungkin.
"Itu atas keputusan FAM dan pihak stadium. Kalau saya, saya beri lebih masa. Sekurang kurangnya lagi dua atau tiga bulan. Kontraktor ni kontraktor yang sama buat padang JDT.
"This is the proven product. Dah terbukti. Tetapi kena jaga betul betul. Tiada beza. Rumput sama, kontraktor sama. Beza dia di SNBJ, tak ada TMJ di situ, itu saja. @FAM_Malaysia (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kalau nak pakai SSI cakap saya siapkan," tulis TMJ. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram