[VIDEO] ‘Anda semua legend bola sepak Malaysia’, 8 tahun lalu TMJ beri penghargaan kepada UltraSel


  • Podium
  • Ahad, 15 Okt 2023

TMJ telah memberi penghargaan kepada UltraSel yang memberi sokongan kepada pemain-pemain Selangor pada 2015.

"WALAUPUN apa keputusan untuk malam ini, anda semua tetap 'legend' dalam bola sepak Malaysia."

Itulah ucapan yang disampaikan oleh pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim lapan tahun lalu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor selepas Harimau Selatan berjaya menundukkan Selangor FC dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan Liga Super.

Ucapan lapan tahun itu membuktikan bahawa TMJ tidak memusuhi penyokong Selangor selepas dakwaan dalam media sosial sering menyatakan bahawa pemilik JDT itu tidak menyukai skuad Gergasi Merah.

Tamat perlawanan, TMJ memberikan ucapan di hadapan seluruh penyokong JDT yang hadir ke stadium bagi menyokong skuad Harimau Selatan.

"Ingin saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan selamat datang kepada UltraSel, Selangor yang memberi sokongan kepada pemain-pemain Selangor.

"Walaupun apa keputusan untuk malam ini, anda semua tetap 'legend' dalam bola sepak Malaysia.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Johor yang telah berjaya dengan kemenangan pada malam ini (13 Julai 2015)," kata TMJ ketika itu.

JDT

JDT kini satu-satunya pasukan yang menjuarai 10 kali berturtu-turut Liga Super.

Ucapan TMJ itu diberikan susulan perletakan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang mana Tunku juga berikar akan sentiasa berada bersama rakyat Johor dalam apa jua urusan negeri.

"Untuk makluman anda semua, baru-baru ini saya telah meletakkan jawatan sebagai Presiden PBNJ, tetapi ia tidak bermakna yang bola sepak Johor tidak akan maju.

"Saya tidak perlu menjadi Presiden untuk memajukan bola sepak Johor. Saya tidak perlu menjadi Royal Patron untuk memajukan bola sepak Johor kerana saya mempunyai anda semua untuk memajukan bola sepak Johor.

"Ikrar saya berjanji di hadapan Bangsa Johor yang ada di stadium pada malam ini, saya sentiasa akan berada di sini tidak kisah dalam bola sepak ataupun urusan negeri," katanya ketika itu.

Ikrar dan janji yang dibuat oleh TMJ itu telah pun ditunaikan selepas JDT kini dikenali sebagai salah satu kelab terbaik dalam benua Asia.

Malahan, kelab-kelab luar negara kini pula merujuk kepada JDT untuk membangunkan pasukan mereka masing-masing.

JDT telah memecahkan rekod menjuarai Liga Super selama sedekad dan menjadi satu-satunya pasukan yang memperolehi status itu dalam Liga Malaysia sejak ditubuhkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram