AKSI persahabatan antara Mesir dan Algeria pada Selasa mencuri perhatian apabila seorang pemain Algeria enggan bersalaman dengan pengurusnya selepas digantikan.
Selepas dikeluarkan pada minit ke-63, penyerang sayap West Ham, Said Benrahma kelihatan tidak berpuas hati dengan keputusan Djamel Belmadi.
Jadi, untuk meluahkan kekecewaannya itu, pemain berusia 28 tahun berkenaan bertindak tidak menghiraukan jurulatih berkenaan dan bergegas ke tempat duduknya.
Bagaimanapun, kelakuannya tersebut jelas tidak disenangi apabila Benrahma kemudiannya ditarik dan diberikan kata-kata tegas daripada Belmadi.
Pemain berkenaan bagaimanapun hanya berdiam diri dengan tindakan jurulatihnya itu sambil mendengar teguran yang berkekalan beberapa saat tersebut.
Ketegangan tersebut dilihat berpunca daripada kedudukan skor yang ketika itu berpihak kepada Mesir yang berada di hadapan hasil jaringan Hamdi Fathi pada minit ke-62.
Bagaimanapun, skuad The Greens masih mampu tersenyum apabila pada masa kecederaan, bekas penyerang Leicester City, Islam Slimani kembali mengikat kedudukan.
Keputusan terbabit jelas menghangatkan suasana dalam Stadium Hazza bin Zayed, Mesir memandangkan kedua-dua pasukan boleh dianggap sebagai antara yang terhebat di benua Afrika.
Namun, pesanan yang dikongsikan Belmadi kepada Benrahma masih tidak diketahui sehingga kini dengan masing-masing masih berdiam diri mengenai insiden tersebut.
Tetapi, dengan peranan pemain berkenaan cukup penting buat negaranya, sukar untuk pihak kejurulatihan Algeria menggugurkannya untuk aksi Kelayakan Piala Dunia menentang Somalia pada 13 November nanti. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
