Ambil tindakan berkecuali, EPL anjur pemain pakai ‘armband’ hitam kenang mangsa konflik Palestin-Israel


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Lilitan lengan berwarna hitam akan dipakai pemain EPL sempena mengenang mangsa krisis Palestin-Israel. — Agensi

KONFLIK yang melanda negara Palestin dengan wilayah haram Israel telah membuatkan pelbagai pihak memberikan reaksi.

Bukan setakat ahli politik dan artis terkenal, tetapi mereka yang daripada komuniti sukan turut menzahirkan sokongan mereka baik untuk Palestin atau rejim Zionis.

Namun begitu, ada beberapa entiti sahaja yang mengambil pendekatan berkecuali dengan menzahirkan simpati terhadap kedua-dua pihak.

Sebagai contoh, English Premier League (EPL) secara terbuka tidak mengambil pendekatan menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat dalam konflik itu.

Sebaliknya, mereka memilih untuk bersikap berkecuali dalam hal ini dan menzahirkan rasa simpati terhadap setiap mangsa yang terjejas serta terkorban.

WhatsApp Image 2023-10-13 at 18.20.37

Kenyataan yang dikeluarkan EPL mengenai krisis Palestin-Israel.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan EPL, mereka mengecam tindakan keganasan kepada mangsa tidak bersalah seperti kanak-kanak, wanita dan orang tua.

"Premier League terkejut dan bersedih kerana krisis yang melanda di Israel dan Gaza, serta mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam terhadap rakyat tidak bersalah.

"Kami mengharapkan keamanan, dan simpati kami adalah bersama-sama mangsa, keluarga mereka dan komuniti yang terkesan," kata EPL.

Sebagai simbolik kepada simpati dan solidariti, EPL akan mengajak kesemua pemain, pengurus dan pegawai perlawanan memakai lilitan lengan berwarna hitam pada perlawanan yang diadakan dari 21 hingga 23 Oktober.

"Sebagai tanda hormat kepada semua yang terkesan, para pemain, pengurus dan pegawai perlawanan EPL akan memakai lilitan lengan berwarna hitam serta bertafakur selama seminit pada perlawanan yang diadakan pada 21 hingga 23 Oktober.

"EPL juga akan melakukan sumbangan derma kepada British Red Cross untuk memberikan bantuan dalam usaha menolong mereka yang memerlukan," ujar EPL dalam kenyataan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram