HARIMAU MALAYA kini dalam momentum terbaiknya untuk ke Piala Asia di Qatar apabila belum merekodkan sebarang kekalahan tahun ini.
Skuad kebangsaan yang baru merekodkan keputusan cemerlang dengan membenam India 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu akan berdepan Korea Selatan dalam Kumpulan E Piala Asian nanti.
Bukan hanya Son Heung-min yang akan jadi taruhan, bintang meningkat naik Hwang Hee-chan juga bakal menjadi tumpuan penyokong Malaysia apabila dia dijangka turun beraksi menentang Harimau Malaya nanti.
Namun penyokong tidak perlu risau apabila ketua jurulatih Wolverhampton Wanderers FC, Gary O'Neil berkongsi kepada barisan pemain Malaysia cara untuk merantai penyerang pasukannya, Hee-Chan.
Menerusi satu temu bual eksklusif bersama wartawan Stadium Astro, Elli Famira, O'Neil mengakui bahawa pemain sayap itu memiliki kualiti yang cukup baik sambil mengingatkan bahawa dia memiliki kepintaran luar biasa sebagai pemain bola sepak.
Dia (Hee-chan) memiliki kepintaran luar biasa menerusi gerakannya. Pemain itu memiliki kefahaman yang baik pada waktu bila perlu berada dalam kotak penalti.”
“Jika melihat semula gol yang dia hasilkan, kita akan lihat dia memiliki kualiti untuk berada pada kedudukan yang tepat. Saya boleh memberi tips kepada pertahanan Malaysia agar apabila bola sudah tiba di dalam kotak penalti, pastikan mereka (Malaysia) tahu bila untuk mencabarnya,” katanya kepada Stadium Astro.
Musim ini, pemain berusia 27 tahun itu sudah pun mencetak lima jaringan dalam lapan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Wolves yang mana dia juga menjadi duri dalam daging buat Manchester City apabila mencetak satu gol.
Untuk info, Hee-Chan pernah beraksi menentang Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Dominic Tan dan Faisal Halim dalam Sukan Asia 2018 yang menyaksikan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee berjaya menewaskan Korea Selatan dengan keputusan 2-1 di Indonesia.
Adakah sejarah mungkin berulang selepas Harimau Malaya kini cemerlang sejak di bawah kendalian Pan-gon? Sama-sama kita nantikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram