Tolak tawaran kelab Arab Saudi, legenda Man United sasar slot EPL musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Birmingham City masih berpeluang cerah untuk melayakkan diri ke slot play-off EPL untuk musim akan datang. — Agensi

SETELAH gagal membawa kelab Amerika Syarikat, DC United ke aksi play-off MLS, pengurus berusia 37 tahun, Wayne Rooney memilih untuk mengembangkan sayap kejurulatihannya ke liga bawahan di England.

Berdasarkan laporan baru-baru ini, bekas penyerang Manchester United itu memilih untuk menyertai kelab di divisyen bawahan England, Birmingham City bermula Rabu lalu.

Keputusan itu sudah tentu mengejutkan ramai pihak memandangkan ada yang berpandangan Rooney lebih sesuai untuk menguruskan pasukan lebih berkualiti.

Bagaimanapun, bagi Rooney, peluang untuk bekerjasama di bawah sebuah kelab dengan reputasi cukup baik seperti Birmingham City adalah sukar untuk ditolak.

"Saya mahu membina semula kelab ini dan saya mahu meletakkannya semula kembali ke tempat sepatutnya. Pada saya, mereka berada di kedudukan tidak sepatutnya untuk 10 tahun kebelakangan ini," katanya.

WhatsApp Image 2023-10-13 at 17.29.21 (1)

Rooney dilantik dengan misi membawa Birmingham City kembali ke EPL. — Agensi

Tambahnya, dia turut memasang cita-cita untuk membawa skuad Blues ke Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menamatkan penantian untuk beraksi di divisyen teratas bola sepak England sejak musim 2011/12.

Birmingham City kini berada di tangga keenam Liga Kejohanan yang merupakan divisyen bawahan di negara tersebut dengan hanya satu mata membezakan mereka daripada Sunderland di kedudukan keempat.

Sekiranya mereka berjaya meneruskan prestasi konsisten musim ini, terdapat kemungkinan besar mereka mampu mengesahkan tempat dalam aksi play-off ke EPL musim depan.

Jelas Rooney lagi, dia sebelum ini pernah menolak tawaran daripada kelab Arab Saudi kerana cukup tertarik untuk melebarkan sayapnya dalam bidang kejurulatihan di negara kelahirannya.

"Saya rasa karier kejurulatihan saya perlu menelusuri jalan berbeza daripada mereka yang lain. Tetapi, saya tidak berpandangan sedemikian untuk merendahkan bekas rakan sepasukan saya yang lain," jelasnya.

Sebelum ini, bekas pengurus Aston Villa, Steven Gerrard memilih untuk menyertai Al-Ettifaq di Liga Pro Arab Saudi dengan harapan sentuhannya dapat meningkatkan pasukan terbabit.

Selain pernah bersama DC United dan Birmingham City, Rooney juga pernah menimba pengalaman sebagai seorang pengurus bersama Derby City FC dalam Liga Kejohanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram