
DRAMA penjualan kelab English Premier League (EPL), Manchester United kini telah memasuki episod baharu namun masih belum menemui penamatnya.
Majoriti penyokong United berharap pemilik semasa, The Glazers akhirnya akan melepaskan hak kelab tersebut kepada hartawan Qatar, Sheikh Jassim namun begitu ia tidak kesampaian.
Hal ini kerana, pihak Glazers dilihat tidak berminat untuk menjual pemilik mereka terhadap United kepada Jassim.
Jassim kemudiannya memilih untuk menarik diri sepenuhnya daripada usaha mendapatkan United dan tindakan itu menambah api kemarahan penyokong terhadap Glazers.
Rentetan daripada perkara tersebut, hartawan Qatar itu memilih untuk beralih arah dengan cuba mendapatkan satu lagi kelab EPL sebagai sasaran pemilikan.
Kelab tersebut adalah Tottenham Hotspur. Pasukan yang berpangkalan di Utara London ini menjadi sasaran Jassim untuk dimiliki sekali gus memberikan satu lagi api kemarahan buat penyokong United terhadap Glazers.
Potensi untuk melihat Jassim melaburkan wangnya kepada Tottenham dilihat cerah kerana ia akan dibantu oleh pemilik Paris Saint-Germain (PSG) iaitu Nasser Al-Khelaifi.
Nasser bersama-sama entitinya yang menguasai PSG, Qatar Sports Invenstments (QSI) pernah cuba untuk mendekati pemilik Tottenham, Daniel Levy berkenaan potensi mengadakan pelaburan di kelab tersebut dengan pemilikan kecil atau minority investment.
Namun begitu, usaha tersebut tidak berhasil tetapi Nasser masih boleh membantu Jassim mendekati Levy sekali gus memastikan proses memiliki Tottenham berjaya.
Untuk rekod, Jassim mendapatkan khidmat nasihat daripada Nasser berkenaan pembelian United selepas Glazers meletakkan tanda harga £6.4 bilion (RM37 bilion).
Buat masa sekarang, masih belum ada pergerakan yang signifikan mengenai urusan Jassim cuba mendapatkan Tottenham. Sementara di United, Glazers masih lagi menguasai kelab walaupun satu lagi pelabur iaitu Sir Jim Ratcliffe turut mencuba nasib.
Ratcliffe dilihat tidak cuba mendapatkan penguasaan mutlak terhadap United tetapi bersedia untuk menyumbang secara pemilikan kecil kepada The Red Devils sebanyak 25 peratus. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram