PEMERGIAN pemain naturalisasi negara, Lee Tuck daripada Kedah Darul Aman (KDA) FC terus menimbulkan tanda-tanya penyokong memandangkan pemain berkenaan masih berada di tahap terbaik.
Dia yang menjadi watak utama skuad Sang Kenari sejak awal musim lalu mengambil keputusan itu pada pertengahan tahun lalu dengan tiada sebab kukuh diberikannya.
Lebih mengejutkan lagi, pemain berusia 35 tahun itu turut mengambil langkah pulang ke negara kelahirannya, England yang mana sekali gus menutup peluangnya beraksi di Piala Asia bersama skuad Harimau Malaya.
Berdasarkan pemerhatian, bekas pemain Sri Pahang FC itu ketika ini tidak bergiat aktif dalam bidang bola sepak dengan dia dilihat menceburi bidang hartanah.
Namun, baru-baru ini, terdapat perkembangan baharu mengenai hala tuju Lee Tuck yang dikatakan cukup berminat untuk kembali bergelar seorang pemain bola sepak profesional.
Lee Tuck memulakan kariernya dalam dunia bola sepak dengan menyertai beberapa kelab bawahan sekitar England.
Menurut satu akhbar di negara Eropah itu, pemain tersebut dikatakan sudah menghubungi pengendali Halifax Town, Chris Millington untuk berbincang mengenai kepulangannya.
"Lee Tuck ada hubungi kelab ini dan kami memberikannya peluang untuk kembali beraksi dalam beberapa permainan supaya mendapatkan semula kecergasannya.
"Langkah itu juga akan menyaksikan dia mendapatkan semula rentaknya dalam bola sepak di England, sekali gus melihat sama ada dia mampu menyesuaikan diri atau tidak," katanya menurut laporan Halifax Courier.
Ketika ini, Halifax Town berada dalam Liga Kebangsaan dengan pasukan terbabit pernah menjadi destinasi Lee Tuck ketika dia baru sahaja menceburi sukan tersebut.
Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya bersama kelab itu tidak berpanjangan apabila dia memilih untuk berhijrah serta mencari majikan baharu di beberapa negara luar.
Kelab terakhir yang diwakili Lee Tuck ialah KDA FC yang ditinggalkannya kira-kira pada Jun lalu.
"Jadi, kita akan lihat dahulu sama ada kehadirannya dapat memberi impak seperti mana diharapkan kerana kita tahu ia bukanlah mudah untuk membawanya masuk dan terus memastikannya terus menyesuaikan diri.
"Kita pernah lihat sebelum ini apabila ada pemain yang cukup bagus dan pernah beraksi di tahap lebih tinggi, namun bergelut untuk menyesuaikan diri dalam liga bawahan bola sepak England," kata jurulatih itu.
Halifax Town sebelum ini pernah menempatkan beberapa pemain ternama, termasuk bekas penyerang Liga Perdana Inggeris (EPL), Jamie Vardy.
Kini, dengan Lee Tuck tidak terikat bersama mana-mana kelab, pasukan berkenaan sudah tentu akan terikat untuk mendapatkan khidmatnya dalam usaha mereka menguatkan lagi jentera serangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram