[VIDEO] Dominic ohhh Dominic, Malaysia kempunan trofi Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Selasa, 17 Okt 2023

Kesebelasan utama Harimau Malaya menentang Tajikistan. — Facebook/FAM

HARIMAU Malaya terpaksa akur terlepas trofi berprestij Pestabola Merdeka apabila tewas 0-2 di tangan Tajikistan di kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa.

Separuh masa pertama perlawanan bermula dengan percubaan demi percubaan yang cuba dilakukan oleh barisan serangan Harimau Malaya namun segalanya tidak berhasil diterjemahkan dalam bentuk jaringan gol.

Meskipun pasukan tuan rumah dilihat mendominasi perlawanan pada babak pertama namun barisan pertahanan muda Tajikistan layak mendapat pujian apabila rapi menjaga kubu mereka daripada dibolosi skuad kebangsaan.

Bukit Jalil terdiam seketika apabila jaringan dari pemain berjersi 10, Soirov Rustam pada minit ke-44 menggegarkan gawang yang dijaga Syihan Hazmi dan sekali gus mematahkan hati penyokong yang turun ke gelanggang keramat itu.

Babak kedua bermula dengan pertukaran pemain dilakukan oleh pengendali dari Korea Selatan itu dengan memasukkan penyerang sayap, Akhyar Rashid menggantikan Arif Aiman Hanapi dan bek kanan, Matthew Davies dikeluarkan untuk memberi peluang kepada Azam Azmi Murad.

Kesilapan bek tengah, Dominic Tan seperti menjadi duri dalam daging dalam skuad Harimau Malaya apabila memberi peluang untuk Tajikistan menambah jaringan kedua pada aksi final itu menerusi penyerang skuad The Crowns, Shahrom Samiev pada minit ke-88.

Ia merupakan kali kedua pertahanan Sabah FC itu membuat kesilapan yang dianggap mudah dalam perlawanan tersebut yang mana sebelumnya Dominic turut leka untuk mengawal pemain lawan.

Kekalahan di laman sendiri itu dan terlepas untuk merangkul trofi kejohanan Pestabola Merdeka membuatkan ramai penyokong meletakkan kesalahan kepada Dominic.

“Dominic itu hmmmm, harapnya dia tidaklah main selepas ini,” kata penyokong, Jamaludin Jaafar.

“Dom fikir apa tu Dom. Habis sah kalahlah memang ini,” tambah penyokong skuad kebangsaan, Bianglala.

Melihat kepada siaran langsung perlawanan, sebahagian penyokong Harimau Malaya sudah terlebih dahulu meninggalkan SNBJ walaupun wisel penamat belum dibunyikan.

Perlawanan Pestabola Merdeka edisi ke-42 itu ternyata bukan membawa kegembiraan kepada penyokong tanah air namun menambah kekecewaan ekor Harimau Malaya yang mendambakan kemenangan di kejohanan bersejarah itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram