SELEPAS Matthew Davies mendapat kepercayaan menjadi ketua pasukan pada aksi pembukaan menentang India, giliran bek tengah Dion Cools pula untuk memimpin Harimau Malaya dengan menjalankan tugas sebagai kapten.
Pemain berusia 27 tahun itu berjanji untuk menunaikan kepercayaan yang diberi kepadanya untuk menerajui cabaran Malaysia ketika menentang Tajikistan pada perlawanan akhir kejohanan Pestabola Merdeka di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Selasa.
"Terdapat tanggungjawab besar bagi mereka yang memakai lilitan tetapi walaupun saya tidak memakainya, saya akan tetap memberikan yang terbaik untuk memimpin pasukan. Matlamat utama adalah untuk menang," katanya.
Dion adalah salah seorang daripada empat pemain yang dipilih untuk menjadi ketua pasukan bersama Matthew, Faisal Halim dan Brendan Gan.
Pemain Buriram United itu berkata, Harimau Malaya bermain dengan gaya bola sepak berbeza di bawah jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon dan ia sememangnya membuahkan hasil.
Pada Jumaat, pasukan ke-134 dunia itu berjaya menewaskan India, yang mana berada pada kedudukan lebih tinggi dengan keputusan 4-2 dalam perlawanan pembukaan Pestabola Merdeka.
Dion ketika sesi latihan Harimau Malaya. — Facebook/FAM
"Jurulatih menuntut banyak (perkara) daripada kami dan dia tahu kami boleh menyampaikan apa yang dia mahu. Dalam setiap kem, kami menyesuaikan diri dan menjadi lebih baik.
“Kami tahu cabaran lebih besar menanti. Kami sedang mendaki ranking dan permainan kami semakin meningkat,” tambahnya.
Selain menewaskan pasukan di ranking ke-102 dunia India, skuad kebangsaan juga pernah mengikat Syria (No. 93) dan China (No. 80) dalam aksi persahabatan bulan lalu.
"Kami sedang belajar untuk menjadi lebih fleksibel dan tahu bagaimana untuk mengatasi tekanan dalam apa jua keadaan. Perlawanan menentang Tajikistan adalah platform untuk menunjukkan sejauh mana kami telah maju.
"Kami mahu mempamerkan persembahan hebat dan menjulang trofi di hadapan penonton tuan rumah,” jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram