
PAHIT untuk ditelan tapi realitinya Harimau Malaya kempunan untuk merangkul trofi Pestabola Merdeka 2023 apabila tewas 0-2 di tangan Tajikistan pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada Selasa.
Berdepan dengan pasukan yang berada pada ranking ke-110 dunia itu, Harimau Malaya dilihat mengalami kesukaran untuk memperoleh jaringan tunggal walaupun Tajikistan tampil tanpa 15 pemain utama mereka dan menurunkan rata-ratanya pemain muda.
Malah, kelekaan pemain di barisan pertahanan juga sedikit sebanyak menjadi faktor kekalahan tersebut sehingga dua jaringan skuad The Crowns terhasil menerusi Soirov Rustam pada minit ke-44 dan penyerang muda, Shahrom Samiev di penghujung babak perlawanan.
Sementara itu, pasukan Tajikistan pula semestinya bersorak kegembiraan selepas berhasil menewaskan Malaysia di laman sendiri dan secara langsung akan membawa pulang trofi Pestabola Merdeka edisi ke-42 tersebut ke bumi Dushanbe.
Jurulatih Tajikistan, Petar Segrt dilayangkan kad kuning kerana terlalu kerap mempertikaikan mutu pengadilan ketika perlawanan akhir Pestabola Merdeka di SNBJ pada Selasa. pic.twitter.com/SfNwBA6HlG
— Majoriti (@majoritionline) October 17, 2023
Selain para pemain pasukan dari Asia Tengah itu, pengendali utama Tajikistan iaitu Petar Segrt sewajarnya menjadi watak utama yang akan meraikan kemenangan tersebut secara besar-besaran.
Seperti ketika selepas penyerahan trofi tersebut, ketua jurulatih kelahiran Crotia itu dilihat tidak henti-henti mengucapkan ucapan 'Terima Kasih Malaysia' yang dilihat seperti tanda penghargaan kerana dapat menang kejohanan tertua di Malaysia tersebut.
Selain daripada momen Segrt mengucapkan terima kasih itu, pengendali berusia 57 tahun tersebut juga sempat mencuri tumpuan ketika perlawanan berlangsung.
Menerusi video tular di media sosial, Segrt dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan dan difahamkan tindakan tersebut diambil ekoran pengendali itu dilihat banyak melakukan aduan kepada pegawai bertugas.
Dalam pada itu, melihat kepada siaran langsung perlawanan, sebahagian penyokong Harimau Malaya sudah terlebih dahulu meninggalkan SNBJ walaupun wisel penamat belum dibunyikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram