KEKALAHAN cukup memedihkan dialami skuad kebangsaan ketika perlawanan akhir Pestabola Merdeka pada Selasa apabila mereka tewas kepada Tajikistan dengan keputusan 0-2.
Jaringan daripada Rustam Soirov dan Shahrom Samiev menyaksikan dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu sekali gus menyebabkan pasukan negara gagal membawa pulang trofi itu buat kali ke-13 dalam edisi ke-42 penganjurannya.
Meskipun sering melakukan percubaan demi percubaan, nasib yang jelas tidak menyebelahi Harimau Malaya menyebabkan mereka sukar mengecilkan jurang gol sepanjang 90 minit permainan.
Bagaimanapun, tumpuan utama sudah tentu diberikan kepada bek tengah negara, Dominic Tan yang dikatakan terlalu mudah membuat kesilapan, terutamanya ketika gol kedua dijaringkan pasukan Tajikistan.
Kegagalannya untuk melakukan komunikasi dengan penjaga gol, Syihan Hazmi menyebabkan gawang pasukan negara dibolosi buat kali kedua pada minit ke-88.
Perlawanan cukup sengit dipamerkan kedua-dua pasukan dalam aksi final pada Selasa. — Facebook/FAM
Namun, bagi pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, adalah salah untuk mana-mana pihak menyalahkan sebarang pemain atas kekalahan dalam final Pestabola Merdeka 2023 itu.
"Sesiapa sahaja boleh melakukan kesilapan, tetapi apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah untuk kita pelajari daripada kesilapan daripada terus mengkritik mereka.
"Jangan salahkan pemain kerana saya yang terlibat dalam kesemua hal, termasuk tetapkan kesebelasan utama, membuat pertukaran pemain, jadi jangan salahkan mereka," katanya dalam sidang media selepas perlawanan tersebut.
Kekalahan kepada Tajikistan merupakan kekalahan paling memeritkan dalam karier Pan-gon sepanjang membimbing skuad Harimau Malaya.
Ia dapat dibuktikan dengan reaksi wajahnya selepas permainan dengan dia cukup kecewa atas kegagalan meneruskan legasi dalam Pestabola Merdeka.
"Mentaliti kemenangan adalah bukan dengan menang dalam setiap perlawanan, tetapi kita perlu sentiasa tenang dalam setiap tekanan yang diberikan.
"Jika kita melakukan kesilapan, kita perlu mempelajari daripadanya dan ia merupakan mentaliti juara yang sering saya tekankan buat pemain saya," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram