AKSI menentang Perak FC untuk separuh akhir Piala Malaysia dan pertemuan bersama Ulsan Hyundai untuk saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia adalah dua perlawanan penting menanti Johor Darul Takzim (JDT) selepas perlawanan kebangsaan melabuhkan tirainya untuk Oktober ini.
Harimau Selatan yang baru sahaja menewaskan wakil Thailand, BG Pathum United dengan keputusan 4-2 pasti memerlukan lagi kemenangan ke atas pasukan dari Korea Selatan itu bagi mencukupkan mata bagi melayakkan diri ke saingan pusingan 16 saingan kejohanan tertinggi Asia tersebut.
Manakala, pertemuan menentang The Bos Gaurus (TBG) turut dianggap sebagai perlawanan penting bagi mencukupkan syarat untuk juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu mencapai treble kedua mereka dan sekali gus menambah trofi di kabinet mereka pada musim ini.
Dengan dua perlawanan wajib menang itu, Harimau Selatan pastinya memerlukan pemain utama mereka untuk diturunkan tetapi tidak dapat dinafikan beberapa tonggak mereka seperti jeneral tengah, Leandro Velazquez nampaknya masih dalam proses pemulihan.
Meskipun akan terlepas lagi khidmat pemain import Argentina itu di bahagian tengah namun kem Harimau Selatan boleh menarik nafas lega apabila bek tengah utama, Shahrul Saad kembali memantapkan jentera pertahanan JDT untuk dua aksi berkenaan.
Shahrul sebelum ini difahamkan mengalami kecederaan hamstring ketika tugasan bersama Harimau Malaya pada September lalu sehingga memaksa pemain berusia 30 tahun itu untuk berehat dari beberapa perlawanan JDT termasuklah saingan ACL.
Foto terkini Shahrul yang dimuat naik oleh laman Facebook rasmi JDT. — Facebook/JDT
Justeru itu, kelibatnya di sesi latihan JDT memberikan senyuman kepada para penyokong Harimau Selatan dan lebih menarik lagi apabila kemunculan semulanya itu membawa perubahan baharu dalam diri bekas pemain Perak tersebut.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata penyokong Harimau Selatan berpendapat bahawa tubuh tonggak pertahanan kebangsaan itu semakin sasa selepas kembali dari sesi pemulihan kecederaannya.
“Fizikal Badak (nama panggilan penyokong) dah 80 peratus lain,” kata penyokong Harimau Selatan, Aiman Izalie.
“Lama tak main..tahu-tahu dah sodo badan itu...baru betul gelaran tembok Badak,” tambah peminat JDT, Razak Othman.
“Minat betul tengok fizik Badak ini. Fizik yang bagus untuk seorang pertahanan tengah dan ada teknik yang bagus untuk role defender,” puji penyokong JDT, Aiman Mirza.
Dengan kemunculan semula Shahrul bersama juara Piala FA 2023 itu, pasti penyokong JDT dan pengikut Perak FC tidak sabar untuk melihat bekas kapten mereka kembali ke Ipoh selepas sekian lama meninggalkan TBG.
Shahrul menyertai Perak FC pada 2016 dan selepas skuad Seladang dibelenggu isu kewangan, bek tengah berpengalaman itu memilih untuk menyertai Harimau Selatan pada 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram