Mereka tak gugup, tapi saya percaya pemain Perak teruja — Khalid Jamlus


  • Podium
  • Selasa, 17 Okt 2023

Khalid juga mengharapkan satu pertembungan hangat bakal berlangsung di laman sendiri pada 19 Oktober nanti. — Bernama

SETELAH dipandang rendah mengenai peluang dalam Piala Malaysia, Perak FC berjaya melakar kejutan buat peminat bola sepak tanah air dalam kejohanan berkenaan.

Kejayaan untuk menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC di peringkat pertama dan Sabah FC di suku akhir menjadi bukti bahawa skuad The Bos Gaurus (TBG) cukup bersemangat memasuki penghujung musim.

Bagaimanapun, harapan mereka untuk melangkah ke pentas akhir sudah tentu cukup sukar memandangkan mereka perlu berdepan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) selepas ini.

Jurang yang cukup besar dalam carta Liga Super sudah cukup untuk memberi gambaran mengenai perbezaan kedua-dua kelab dari segi prestasi ketika ini.

Skuad Harimau Selatan juga pastinya tidak mahu melepaskan peluang membawa pulang Piala Malaysia dalam harapan meraih empat trofi domestik semusim untuk tahun kedua berturut-turut.

366944870_303886668858382_6139796109865677382_n

Skuad TBG mengalami kekalahan 0-5 kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu. Facebook/Perak FC

Oleh itu, ia sudah tentu menjadi satu ujian getir buat pemain serta pihak kejurulatihan Perak FC yang tentunya sibuk mencari cara untuk melangkah ke pentas akhir kejohanan.

Perkara berkenaan turut dipersetujui bekas penyerang skuad TBG, Khalid Jamlus yang mengakui akan perbezaan antara kedua-dua pasukan musim ini.

"Saya mengharapkan akan adanya satu perlawanan yang hebat kerana JDT merupakan sebuah pasukan di tahap tersendiri, tetapi Perak bangkit dan melangkah ke peringkat separuh akhir.

"Jadi, ini peluang yang cerah untuk Perak melakar sejarah untuk ke perlawanan akhir yang mana mereka perlu berdepan JDT dengan ia bukanlah sesuatu yang mudah," katanya kepada Majoriti.

Khalid sebelum ini pernah beraksi sebanyak dua kali, iaitu dari 1999 sehingga 2004 dan sekali lagi bersama skuad TBG dari 2007 sehingga 2008.

83472443_2683627395297720_2671340111427227538_n

Khalid Jamlus merupakan antara penyerang terbaik pernah disaksikan penyokong Perak FA.

Sepanjang keberadaannya bersama kelab Utara tanah air tersebut, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu pernah mengecapi beberapa kejayaan termasuk Piala Malaysia 2000.

Jelas Khalid lagi, pemain sudah tentu bermotivasi untuk perlawanan tersebut memamndangkan mereka tidak berdepan tekanan yang besar.

"Saya tidak berasakan mereka akan gugup, tetapi saya rasa mereka akan teruja. Jadi, sekiranya mereka berasa demikian, ia akan membantu pemain beraksi dengan lebih baik," katanya.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis untuk aksi pertama sebelum perlawanan timbal balik diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 2 November.

Kali terakhir Perak FC dan JDT beraksi menyaksikan skuad Harimau Selatan menang mudah dengan keputusan 5-0 di laman sendiri, iaitu dalam aksi Liga Super 13 Ogos lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram