PERAK FC menempah pertembungan separuh akhir Piala Malaysia 2023 dengan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) selepas menewaskan Sabah 1-0 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada 25 September lalu.
Keputusan itu menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) mara dengan agregat 3-2 selepas terikat 2-2 dalam aksi pertama di Stadium Likas, 15 September lalu.
Dalam pada itu, menjelang pertembungan antara Perak dan JDT pada perlawanan separuh akhir itu pastinya terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh pihak pengurusan skuad Perak berikutan kehadiran dijangka mencecah ribuan penonton.
Perkara itu dilontarkan oleh sebuah laman penyokong Perak FC, Silver Retro yang mana pengikut TBG itu juga menyenaraikan lima hasrat peminat skuad Seladang sebelum pertemuan menentang Harimau Selatan.
Sebahagian aksi menarik antara pemain Sabah dan Perak FC dalam aksi suku akhir kedua. — Instagram/PerakFC
Berikut Majoriti menyenaraikan lima harapan penyokong Seladang untuk aksi getir bertemu JDT nanti.
1) Pembukaan kaunter tiket
Seperti yang diketahui, tiket perlawanan amat penting dalam sesebuah perlawanan agar setiap peminat bola sepak dibenarkan untuk memasuki stadium.
Sekiranya tidak memiliki tiket, sudah pasti penyokong akan terlepas untuk menyaksikan perlawanan yang ingin ditonton.
Dalam pada itu, penyokong memberikan pendapat agar kaunter tiket perlu dibuka awal pagi seperti keadaan sewaktu penjualan tiket perlawanan akhir dilakukan.
2) Semua pintu masuk stadium perlu dibuka
Perlawanan separuh akhir biasanya menarik minat penyokong tanah air lebih-lebih lagi melibatkan pasukan gergasi tanah air iaitu JDT.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ramai penonton yang akan membanjiri Stadium Perak nanti.
Dalam pada itu, bagi mengelak kesesakan di pintu masuk stadium, penyokong skuad Seladang berharap agar semua pintu masuk dibuka termasuk pintu masuk C yang tidak pernah dibuka sejak 1997.
3) Kawalan keselamatan diperketatkan
Perlawanan bola sepak tidak kira peringkat apa pun pasti tidak terlepas daripada dicemari insiden provokasi sama ada daripada penyokong atau pemain pasukan itu sendiri.
Oleh itu, penyokong juga mengharapkan agar kawalan keselamatan diperketatkan terutama melibatkan penyokong ekstrem kedua-dua pasukan.
Hal ini kerana, kedua-dua pasukan dilihat agak terbatas untuk mengaum di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) tetapi dijangka menjadikan Stadium Perak lokasi terbaik beradu kekuatan.
4) Membaik pulih sistem pembesar suara
Tentunya setiap penonton yang datang ke stadium akan mempunyai kesukaran untuk mendengar sekiranya emcee membuat sebarang pengumuman.
Oleh itu, penyokong Perak berharap agar pihak pengurusan dapat membaik pulih pembesar suara kerana difahamkan suara emcee tidak kedengaran ketika mengumumkan nama penjaring gol dan cabutan nombor bertuah.
Berikutan perkara itu, emcee seolah-olah berada di tempat yang jauh dengan kadar liputan telekomunikasi yang terhad.
5) Perlawanan yang bakal mencatat kutipan tertinggi
Dijangka perlawanan tersebut bakal mencatat kutipan tertinggi untuk kantung Perak sepanjang musim ini.
Pastinya lebih dramatik dan meriah jika peminat nombor 1 bola sepak negeri Perak turut diundang sebagai kunjungan sulung Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sejak Perak diambil alih oleh XOX.
Untuk rekod, Tuanku pernah menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Perak dan merangkul kesemua kejuaraan yang dipertandingkan oleh badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika itu.
Stadium Perak tidak asing dengan aksi separuh akhir kerana stadium keramat tersebut sudah melalui 15 kali perlawanan separuh akhir sejak rekod 1998.
Perak akan menerima kunjungan daripada pasukan Harimau Selatan bagi melengkapkan aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 19 Oktober depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram