KEKECEWAAN sudah tentu menyelubungi pemain serta pihak kejurulatihan Harimau Malaya selepas pasukan negara tewas kepada Tajikistan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 pada Selasa.
Meskipun memulakan aksi dengan cukup baik, skuad kebangsaan gagal memanfaatkan peluang terhidang sebelum gawang sendiri dibolosi menerusi Soirov Rustam pada minit ke-44.
Usaha pasukan negara diteruskan pada babak kedua dengan beberapa percubaan diajukan tepat ke arah gawang gol Tajikistan.
Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan Harimau Malaya dihukum pada minit-minit akhir permainan apabila penyerang simpanan lawan, Shahrom Samiev menggandakan kedudukan mereka hasil masalah komunikasi antara benteng pertahanan, Dominic Tan dan penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi.
Keputusan 0-2 terbabit kekal sehingga penghujung permainan yang sekali gus menyaksikan pasukan negara gagal membawa pulang Pestabola Merdeka untuk kali ke-13.
Kira-kira 36,000 penyokong hadir untuk menyaksikan perlawanan akhir Pestabola Merdeka pada Selasa. — Facebook/FAM
Jadi, tidak hairanlah apabila riak wajah pemain serta pengendali pasukan, Kim Pan-gon cukup kecewa apabila mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong.
Ia turut dipersetujui pemain tengah negara, Stuart Wilkin yang turun beraksi sebagai pemain simpanan bagi menggantikan Safawi Rasid.
"Semangat kami sudah tentu berada di tahap kritikal kerana kami tidak dapat menjulang trofi di laman sendiri dengan skor akhir turut mengecewakan kami.
"Kami sudah tentu akan cuba untuk menambah baik segala aspek sebelum aksi Kelayakan Piala Dunia yang akan datang ini," katanya kepada media selepas perlawanan.
Dalam dua aksi Pestabola Merdeka edisi ke-42, pemain Sabah FC berkenaan hanya beraksi sebagai pemain gantian dengan Pan-gon sudah tentu mempunyai percaturan tersendiri.
Tajikistan dinobatkan juara Pestabola Merdeka 2023 selepas menundukkan pasukan negara 2-0. — Facebook/FAM
Bagaimanapun, ketiadaanya yang cukup mahir dalam mengawal tempo serta melakukan hantaran sudah tentu amat dirindui dengan segelintir penyokong mula mendesak agar Wilkin berada dalam kesebelasan utama selepas ini.
"Kami sememangnya amat kecewa dan kami mahu mohon maaf kepada penyokong Harimau Malaya kerana tidak dapat muncul juara.
"Tetapi, saya juga ingin menegaskan bahawa saya, rakan sepasukan dan pihak kejurulatihan sudah memberikan yang terbaik," katanya.
Selepas ini, pasukan negara bakal berdepan Krygyzstan dalam aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 16 November di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Mereka juga bakal berdepan Chinese Taipei dan Oman dalam aksi Kumpulan D sebelum memulakan kempen Piala Asia 2023 di Qatar menentang Jordan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram