Bintang Terengganu, Sabah dalam senarai 'best playmaker' Piala AFC


  • Podium
  • Isnin, 16 Okt 2023

Terengganu dan Sabah berjaya merekodkan keputusan positif menentang pasukan dari Indonesia.

PEMAIN Terengganu FC (TFC), Habib Haroon dinobatkan sebagai 'playmaker' terbaik Piala AFC untuk perlawanan minggu kedua menentang Bali United pada 4 Oktober lalu.

Dalam perlawanan itu, Terengganu berjaya bangkit daripada ketinggalan selepas mengikat tuan rumah dengan tampanan mudah oleh Syahmi Zamri pada penghujung permainan.

Habib yang beraksi selama 90 minit berjaya melakukan lima peluang buat pasukannya untuk menjaringkan gol namun gagal disudahi oleh jentera serangan TFC yang diketuai oleh Adisak Kraison.

Ketiadaan Ivan Mamut dalam perlawanan itu juga menyukarkan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner untuk membolosi gawang gol Bali United meskipun mendominasi permainan.

Piala AFC

Antara lima 'playmaker' terbaik minggu kedua Piala AFC.

Bukan hanya Habib, bintang import Sabah, Saddil Ramdani turut tersenarai apabila berjaya melakukan enam peluang jaringan untuk pasukannya yang mana tiga daripadanya berjaya disudahi oleh Darren Lok dan Gabriel Peres yang menyaksikan The Rhinos menang mudah ke atas PSM Makkasar dengan keputusan 5-0.

Habib dan Mikael Doka (Central Coast Mariners FC) berkongsi angka yang sama.

Manakala Saddil bersama Salaah Al-Yahyaei (Al-Nahda Club) dan Robinho (Bashundhara Kings) berkongsi angka yang sama iaitu enam peluang jaringan.

Selepas ini Terengganu akan berdepan kelab Filipina, Stallion Laguna FC pada 26 Oktober manakala Sabah akan terbang ke Vietnam untuk menentang Hai Phong FC Rabu depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram