Mula ketandusan penyerang, Jaami Qureshi dah patut main HM ganti Darren Lok


  • Podium
  • Isnin, 16 Okt 2023

Adakah FAM mampu duduk semeja dengan wakil Jaami (kiri) memandangkan dia masih belum beraksi untuk Iraq?

SKUAD kebangsaan tidak lagi menoleh ke belakang selepas merekodkan kemenangan 4-2 ke atas pasukan yang berada di ranking lebih tinggi India dalam kejohanan Pestabola Merdeka pada Jumaat.

Harimau Malaya yang dibimbing oleh Kim Pan-gon tahun ini tidak mencatatkan sebarang kekalahan dalam tujuh perlawanan terakhir.

Namun jika dilihat semula skuad kebangsaan kini tiada penyerang selain daripada Darren Lok yang kini cemerlang di bawah kendalian jurulatih Korea Selatan itu.

Selepas pemain naturalisasi kebangsaan, Paulo Josue mengalami masalah kesihatan, Pan-gon dilihat tempang tanpa penyerang lain sehingga memaksa Arif Aiman Hanapi untuk bermain di belakang penyerang ketika berdepan India.

Jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu sebuah pasukan yang kukuh untuk menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

FAM perlu membantu Pan-gon untuk mencari penyerang jangka pendek dan di masa akan datang berikutan umur Darren Lok yang sudah menjangkau usia 32 tahun.

Majoriti senaraikan tiga pemain yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai penjaring Harimau Malaya jika ketiadaan Darren Lok di masa akan datang:

Romel Morales

Romel bakal menjadi aset penting buat skuad Pan-gon selepas penyokong Harimau Malaya dikecewakan dengan Guilherme de Paula. Facebook

1. Romel Morales Ramírez

Tidak perlu diperkenalkan lagi bekas penjaring terbanyak Piala Malaysia 2021 yang membantu Kuala Lumpur City FC (KL City) menjuarai kejohanan itu selepas menewaskan JDT pada tahun tersebut.

Pemain muda Colombia yang mula beraksi dalam Liga Malaysia pada 2018 dikhabarkan sedang dalam proses naturalisasi untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Mempunyai ketinggian 1.87 meter ia bakal menjadi aset penting buat skuad Pan-gon selepas penyokong Harimau Malaya dikecewakan dengan Guilherme de Paula.

Boleh beraksi di posisi nombor 10, penyerang dan sayap kanan, pemain berusia 26 tahun itu telah menjaringkan sembilan gol serta satu 'assist' dalam 19 perlawanan bersama The City Boys.

Adakah kita akan melihat Romel dalam skuad kebangsaan semasa kelayakan Piala Dunia 2026 pada November ini? Ia selepas dikhabarkan proses naturalisasinya di peringkat akhir.

Velupillay menjadi wira buat Melbourne Victory FC.

2. Nishan Velupillay

Adakah benar penyerang kelab Melbourne Victory, Nishan Velupillay memiliki hubungan dengan Malaysia?

Itu persoalan yang timbul selepas Nishan Velupillay yang beraksi di Liga Australia kini hangat dikaitkan sebagai calon baharu penyerang skuad Harimau Malaya di laman sosial ketika ini.

Menerusi media sosial, pemain Bawah-23 tahun Australia itu didakwa memiliki pertalian darah dengan Malaysia di sebelah ibu bapanya, yang membolehkannya menyarung jersi Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Boleh beraksi di posisi sayap kanan dan kiri, pemain berusia 22 tahun itu telah meledak enam gol serta tiga bantuan jaringan bersama Melbourne Victory FC sejak dinaikkan pangkat pada 2021.

Bersama skuad B-23 Australia, Velupillay menjaringkan dua gol dalam enam penampilan terakhirnya.

Jaami Qureshi

Jaami (kanan) antara tonggak utama Akademi Brighton & Hove Albion. Agensi

3. Jaami Muhammad Qureshi

Sudah lama kita tidak mendengar nama Jaami Muhammad Qureshi selepas FAM mengambil keputusan untuk tidak meneruskan proses dokumentasinya sebagai rakyat Malaysia.

Ia berikutan permintaan keluarganya yang tidak dapat dipenuhi FAM selepas bapa pemain itu, Perviz Qureshi, mahu Jaami diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal daripada jurulatih Brad Maloney ketika itu.

Untuk rekod, FAM pernah menghubungi Perviz, serta Pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling, dalam membincangkan panggilan ke pusat latihan bagi skuad Bawah-19 tahun kebangsaan menjelang Kejohanan Asia AFC B-19 tahun yang sepatutnya diadakan di Uzbekistan pada 2020.

Jaami yang dilaporkan memilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Iraq berbanding Malaysia kini masih belum mewakili mana-mana negara dan statusnya ialah ejen bebas selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya pada Disember tahun lalu.

Masih dalam tempoh pemulihan, adakah Jaami dan FAM boleh duduk semeja untuk kembali memberi peluang kepada pemain berusia 19 tahun itu menyarung jersi skuad kebangsaan?

Stuart Wilkin yang merupakan graduan akademi kelab England, Southampton FC membuktikan kualitinya di posisi tengah pasukan Harimau Malaya ketika ini.

Manakala Nathaniel Shio Hong Wan yang juga merupakan graduan akademi kelab England, Wolverhampton Wanderers FC turut membuktikan kualitinya selepas berjaya menjadi tonggak utama Harimau Selatan.

Jadi adakah Jaami juga mampu mengikut jejak Wilkin dan Hong Wan? FAM wajar memberikan peluang kedua buat pemain itu yang mana Piala Asia B-23 juga akan bermula tahun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram