SAINGAN Pestabola Merdeka bakal kembali dan keterujaan pasti akan tiba buat kita semua apabila Harimau Malaya beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bakal menjadi medan terbaik melakukan persiapan menjelang Piala Asia 2023, Harimau Malaya yang dilatih Kim Pan-gon pastinya akan berjuang habis-habisan menentang India dalam misi ke perlawanan akhir.
Namun itu pastinya tidak mudah, India yang merupakan jaguh bola sepak Asia Selatan pasti ingin memastikan Malaysia mengigit jari apabila beraksi di depan penyokong sendiri.
India begitu teruja untuk menyertai Pestabola Merdeka kerana mereka merupakan antara pasukan terawal menyertai kejohanan ini.
Malah, India juga telah melakukan penampilan hampir 20 kali dalam kejohanan ini tetapi sayangnya tidak pernah berhasil untuk menjuarainya. Maka, kita boleh jangkakan India akan datang ke Malaysia dengan misi untuk bergelar johan.
Maka tidak terkejut jika skuad kendalian Igor Stimac ini membawa pasukan terbaiknya untuk kejohanan ini. Cuma yang menjadi persoalan, India cuma membawa dua penyerang sahaja untuk Pestabola Merdeka.
Oleh itu, analisis ringkas Majoriti kali ini akan merungkai siapakah dua penyerang yang dibawa India untuk Pestabola Merdeka. Satu nama sudah dikenali tetapi seorang lagi masih lagi menjadi misteri.
1. Manvir Singh
Manvir Singh merupakan salah satu daripada dua penyerang yang dibawa oleh Stimac ke Kuala Lumpur. Pemain Mohun Bagan ini merupakan penyerang yang prolifik buat pasukannya.
Setakat tiga perlawanan Indian Super League (ISL) bersama-sama Mohun Bagan, Manvir sudah mencatatkan dua jaringan untuk kelabnya.
Kelebihan fizikal Manvir pasti akan menyukarkan pertahanan Malaysia. — Agensi
Mempunyai ketinggian 1.87 meter, Manvir boleh dianggap sebagai pemain yang fizikal serta berpotensi untuk memberikan masalah buat pihak lawan apabila berada dalam kotak penalti.
Manvir sudah bersama-sama skuad kebangsaan India sejak Ogos 2017 dan mempunyai 36 penampilan untuk negaranya sambil menghasilkan enam gol.
2. Sunil Chhetri
Inilah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Sunnil Chhetri merupakan legenda dalam bola sepak India dan Asia.
Penyerang veteran berusia 39 tahun ini merupakan segalanya mengenai bola sepak India. Beraksi sebanyak 142 kali untuk negaranya, Sunil telah menghasilkan 93 jaringan sejak kali pertama mewakili India pada 2005.
Rekod jaringan Sunil itu adalah setara dengan nama-nama seperti legenda agung seperti Mokhtar Dahari, Crisitano Ronaldo dan Ali Daei. Oleh itu, pertahanan Harimau Malaya perlu memberikan perhatian khusus untuk mengekang kemaraannya.
Sunil adalah legenda bola sepak India. — Agensi
Walaupun dia sudah dikira veteran, tetapi Sunil masih lagi teguh beraksi untuk kelab dan negaranya. Bersama kelabnya iaitu Bengaluru, Sunil sudah menjaringkan satu gol dalam ISL musim ini.
Kehadirannya ke Kuala Lumpur pasti akan mencuri tumpuan ramai penyokong kita. Harapnya dia akan diturunkan dan kita akan dapat lihat bagaimana pertahanan negara berdepan dengannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram