SAINGAN Pestabola Merdeka bakal kembali dan keterujaan pasti akan tiba buat kita semua apabila Harimau Malaya beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Bakal menjadi medan terbaik melakukan persiapan menjelang Piala Asia 2023, Harimau Malaya yang dilatih Kim Pan-gon pastinya akan berjuang habis-habisan menentang India dalam misi ke perlawanan akhir.
Namun itu pastinya tidak mudah, India yang merupakan jaguh bola sepak Asia Selatan pasti ingin memastikan Malaysia menggigit jari apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.
India begitu teruja untuk menyertai Pestabola Merdeka kerana mereka merupakan antara pasukan terawal menyertai kejohanan ini.
Malah, India juga merekodkan penampilan hampir 20 kali dalam kejohanan itu tetapi tidak pernah menjuarainya.
Dengan itu, kita boleh menjangka India akan datang ke Malaysia dengan misi untuk bergelar johan.
Maka tidak terkejut jika skuad kendalian Igor Stimac membawa pasukan terbaiknya untuk kejohanan kali ini.
Majoriti senaraikan tiga bintang India yang perlu diawasi oleh pemain-pemain Harimau Malaya untuk meraih kemenangan sekali gus beraksi di pentas akhir.
Sandhu antara tunjang utama skuad India. — Agensi
1. Gurpreet Singh Sandhu
Antara penjaga gol utama skuad nasional India, Gurpreet Singh Sandhu antara tunjang utama skuad kendalian Stimac menjaga gawang gol pasukan.
Pemain berusia 31 tahun itu, pernah beraksi dalam Liga Norway bersama Stabaek sejak 2014 sehingga 2017 sebelum kembali ke India.
Dilantik sebagai kapten Bengaluru FC, musim ini Sandhu telah melakukan tiga penampilan dan dibolosi empat perlawanan.
Bersama India, Sandhu telah melakukan 64 penampilan dan merekodkan 5,749 minit permainan bersama skuad kebangsaan sejak 2011.
Sahal mampu beraksi di tiga posisi iaitu di sayap kiri, tengah dan posisi nombor 10 iaitu pemain tengah menyerang. — Agensi
2. Sahal Abdul Samad
Sahal Abdul Samad merupakan pemain kelab Mohun Bagan SG di India.
Sahal adalah seroang pemain yang versatil apabila mampu beraksi di tiga posisi iaitu di sayap kiri, tengah dan posisi nombor 10 iaitu pemain tengah menyerang.
Khidmat Sahal dijangka menjadi taruhan Stimac yang sudah tentu mahukan kemenangan dapat dicatatkan berdepan Malaysia untuk aksi sulung Pestabola Merdeka pada Jumaat.
Bersama Mohun Bagan SG, Sahal telah merekodkan tiga bantuan jaringan dalam tiga perlawanan terakhir Liga India.
Sahal turut mempunyai skil gelecekan luar biasa yang mampu mengucar-ngacirkan pertahanan Harimau Malaya.
Sunil merupakan legenda dalam bola sepak India dan Asia. — Agensi
3. Sunil Chhetri
Inilah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Sunil Chhetri merupakan legenda dalam bola sepak India dan Asia.
Penyerang veteran berusia 39 tahun ini merupakan segalanya mengenai bola sepak India. Beraksi sebanyak 142 kali untuk negaranya, Sunil telah menghasilkan 93 jaringan sejak kali pertama mewakili India pada 2005.
Rekod jaringan Sunil itu adalah setara dengan nama-nama seperti legenda agung seperti Mokhtar Dahari, Crisitano Ronaldo dan Ali Daei.
Oleh itu, pertahanan Harimau Malaya perlu memberikan perhatian khusus untuk mengekang kemaraannya.
Walaupun dia sudah dikira veteran, tetapi Sunil masih lagi teguh beraksi untuk kelab dan negaranya. Bersama kelabnya iaitu Bengaluru, Sunil sudah menjaringkan satu gol dalam ISL musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram